Haily Group peroleh kontrak pembinaan RM42.05 juta daripada Paragon Globe di Johor

LocalBusiness & Finance
23 Nov 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Haily Group peroleh kontrak pembinaan RM42.05 juta daripada Paragon Globe di Johor Image from: Haily Group peroleh kontrak pembinaan RM42.05 juta daripada Paragon Globe di Johor sarah23/11/2026 - 18:10 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov - Haily Group Berhad memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM42.05 juta daripada kumpulan Paragon Globe Berhad bagi membangunkan 56 unit rumah kedai pejabat berkembar di Bandar Wawari, Mukim Pulai, Johor Bahru.

 

Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Haily Construction Sdn Bhd, daripada PGBG Construction Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Paragon Globe yang bertindak sebagai kontraktor utama projek berkenaan.

 

Menurut kenyataan media hari ini, pembangunan komersial itu merangkumi 48 unit rumah kedai pejabat berkembar tiga tingkat dan lapan unit empat tingkat, selain tiga pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta sebuah rumah pam.

 

Kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 1 Disember 2026 dan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan, dengan tarikh siap ditetapkan pada 31 Mei 2028.

 

Portfolio pembinaan aktif meningkat kepada 25 projek

Dengan kontrak baharu itu, Haily kini mempunyai 25 projek pembinaan yang sedang dilaksanakan, dengan nilai kontrak terkumpul kira-kira RM1.15 bilion, sekali gus menyokong prospek pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2027 dan 2028.

 

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily Group, See Tin Hai berkata, syarikat mengalu-alukan peluang bekerjasama dengan Paragon Globe dalam pembangunan Bandar Wawari berdasarkan pengalaman melaksanakan projek komersial seumpamanya di Johor.

 

"Keutamaan kami adalah memastikan kerja pembinaan diurus dengan teliti, mengekalkan piawaian kualiti dan menyiapkan projek mengikut jadual kerana pelaksanaan yang konsisten menjadi asas kepada hubungan jangka panjang dengan pemaju hartanah," katanya.

 

Terus buru kontrak pembinaan di Johor

Haily berkata, kontrak itu turut memperkukuh portfolio pembinaan komersialnya, selain perniagaan teras dalam sektor kediaman, sekali gus membuktikan keupayaan kumpulan melaksanakan pelbagai jenis pembangunan hartanah.

 

Setakat ini, kumpulan telah menyiapkan 123 projek pembinaan dengan nilai kontrak terkumpul melebihi RM2.48 bilion, mencerminkan pengalamannya dalam industri pembinaan Johor.

 

Berbekalkan pengalaman operasi lebih 18 tahun di negeri itu, Haily akan terus membida kontrak pembinaan kediaman, komersial dan perindustrian, selain mengekalkan hubungan dengan pemaju hartanah sedia ada.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved