Airiel Amani raja pecut

16 Oct 2025 • 4:00 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Airiel Amani Kahar mengungguli acara 100 meter Saga XI untuk bergelar raja pecut dalam acara riben biru itu di Kompleks Sukan Tawau pada sesi pagi acara olahraga.

Airiel yang mewakili daerah Kalabakan membuat catatan 10.67 saat untuk memastikan pingat emas dalam genggaman manakala perak dan gangsa masing-masing menjadi milik pelari Ranau, Carlson Camilus menerusi masa 10.72 saat dan Muhammad Muzaffar Shah Abdul Sahidiu dengan catatan 10.77 saat.

Dalam kategori wanita, emas menjadi milik pelari Sandakan, Siti Norjahera Beliamor menerusi catatan 12.48 saat manakala Bibi Halina Aloysius (Tuaran) mendapat perak dengan catatan 12.52 saat meninggalkan pelari Putatan, Dayangku Nursyafinaz Syazikah yang mencatat 12.69 saat untuk gangsa.

Sebanyak 14 pingat emas di pertandingkan pada hari ke empat acara olahraga dilangsungkan.

Sementara itu, tiga rekod baharu berjaya dicipta di trek larian pada hari keempat.

Rekod pertama tercipta pada sesi pagi dari acara 400m lari berpagar lelaki apabila pelari Sandakan, Dexter Palmin mencatat masa terpantas 55 saat, meleburkan rekod lama 55.22s milik pelari Kota Marudu, Deaigo Emanuell Wayring dalam Saga IX.

Perak dimenangi oleh Alvinsyah Ziqkryzam Paul (Lahad Datu) dengan masa 55.30s, meninggalkan pelari Kota Kinabalu, Muhammad Nurmansyah Nurdin (55.57s) di tangga ketiga.

Dua lagi rekod baharu dicipta pada sebelah petang melalui acara 800m wanita dan 4x100m lelaki.

Acara 800m wanita menyaksikan atlet yang mewakili Kota Belud, Nur Syifa Raisya Adnan Firdaus mencatatkan masa 2.23s berjaya memecahkan rekod sebelum ini yang dilakukan oleh Hizillawanty Jamain (Keningau) dengan 2.24s.

Perak menjadi milik Sharlene Fioney Sonny (2.29s) manakala, Angeline Fet Yung dari Ranau terpaksa berpuas hati pulang dengan pingat gangsa setelah mencatatkan masa 2.33s.

Acara tumpuan, 4x100 meter lelaki menyaksikan kuartet Sandakan, Alif Zulmizan Mohd Aliawal, Mukhriz Ameer Izzuddin, Muhammad Fareez Adam dan Pengiran Aidil Auf unggul mencatatkan masa 41.42s mengatasi rekod sebelum ini 41.83s yang mereka dilakukan dalam peringkat saringan.

Sementara itu kuartet Tambunan mendapat perak apabila mencatatkan masa 41.98s meninggalkan pelari-pelari Kalabakan yang hanya mencatatkan masa 42.25s meskipun turut diperkuat pemenang acara 100 meter Airiel Amani Kahar.