Aiskrim bakal jadi pemacu keuntungan Farm Fresh, jualan diunjur RM249 juta - HLIB Research

LocalBusiness & Finance
12 Nov 2026 • 10:49 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Aiskrim bakal jadi pemacu keuntungan Farm Fresh, jualan diunjur RM249 juta - HLIB Research Image from: Aiskrim bakal jadi pemacu keuntungan Farm Fresh, jualan diunjur RM249 juta - HLIB Research sarah12/11/2026 - 10:49 Gambar dari laman web Farm Fresh Berhad Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Nov - Perniagaan aiskrim dijangka menjadi antara pemacu utama pertumbuhan keuntungan Farm Fresh Berhad apabila hasil segmen itu diunjurkan meningkat kepada RM249 juta menjelang tahun kewangan berakhir 31 Mac 2029 (FY29), disokong peningkatan kapasiti pengeluaran dan pengembangan rangkaian jualan.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB Research) berkata, hasil perniagaan aiskrim kumpulan dijangka meningkat daripada RM167 juta pada FY27 kepada RM249 juta pada FY29, mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 24.8% dalam tempoh tiga tahun.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pengembangan hab pengeluaran aiskrim di Bandar Enstek, Negeri Sembilan dijangka meningkatkan kapasiti hampir tiga kali ganda daripada 350,000 unit kepada kira-kira satu juta unit sehari, sekali gus membantu Farm Fresh memenuhi permintaan yang sebelum ini dibatasi kekangan bekalan.

 

HLIB Research menganggarkan margin keuntungan kasar perniagaan aiskrim sekitar 55%, jauh lebih tinggi berbanding produk susu biasa, dengan sumbangannya kepada keuntungan kasar kumpulan dijangka meningkat daripada 19.3% pada FY26 kepada 23.2% menjelang FY29.

 

Inside Scoop terus berkembang

Rangkaian aiskrim Inside Scoop kini mempunyai 78 cawangan berbanding 36 cawangan pada Mei 2023, dengan HLIB Research menjangkakan pembukaan sekitar 12 cawangan baharu setiap tahun, selain pertumbuhan jualan aiskrim berbungkus melalui rangkaian pasar raya dan kedai serbaneka.

 

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan pengembangan rangkaian peti sejuk beku sebanyak 14% setahun, manakala pemerolehan jenama Amelia di Sabah pada Julai 2026 menambah lebih 3,500 lokasi peti sejuk beku serta jualan tahunan sekitar RM15 juta kepada perniagaan aiskrim kumpulan.

 

Keuntungan kumpulan dijangka melonjak 69%

Seiring pertumbuhan perniagaan aiskrim, HLIB Research mengunjurkan keuntungan bersih Farm Fresh meningkat 69% daripada RM130 juta pada FY26 kepada RM220 juta menjelang FY29, manakala hasil kumpulan dijangka berkembang daripada RM1.12 bilion kepada RM1.74 bilion dalam tempoh sama.

 

Selain aiskrim, pengembangan operasi di Kemboja turut dijangka menyumbang kepada pertumbuhan apabila hasil pasaran itu diunjurkan meningkat tiga kali ganda daripada RM64 juta pada FY27 kepada RM195 juta menjelang FY29, disokong pengeluaran tempatan di kilang Alpha City yang dijadual bermula pada November 2026.

 

HLIB Research turut menjangkakan margin keuntungan kasar Farm Fresh meningkat daripada 32% pada FY27 kepada paras tertinggi 33.9% menjelang FY29, disokong peningkatan sumbangan produk aiskrim bermargin tinggi, pengurangan kos penghantaran di Kemboja serta pemulihan kos operasi domestik.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan memulakan liputan terhadap Farm Fresh dengan saranan 'beli' dan harga sasaran RM2.84 sesaham, menawarkan potensi kenaikan 55.2% berbanding harga rujukan RM1.83, berdasarkan prospek pertumbuhan keuntungan serta pengembangan perniagaan kumpulan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved