liza06/11/2026 - 09:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov – Pengeluar sarung tangan getah dijangka berdepan tekanan keuntungan pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY2026) berikutan penurunan harga jualan purata (ASP) serta peningkatan tarif gas asli yang menaikkan kos pengeluaran.
CIMB Research berkata, walaupun terdapat kemungkinan harga jualan sarung tangan meningkat selepas November ini, kesan positif terhadap pendapatan dijangka lebih sederhana berbanding prestasi yang dicatatkan pada suku berakhir Jun 2026.
Menurut firma penyelidikan itu, sekiranya kenaikan harga berlaku, ASP boleh mencecah AS$23 bagi setiap 1,000 unit melepasi julat unjuran semasa firma itu antara AS$21 hingga AS$22 bagi setiap 1,000 unit.
Bagaimanapun, paras tersebut masih jauh lebih rendah berbanding harga puncak sekitar AS$28 bagi setiap 1,000 unit yang direkodkan pada Jun 2026 sekali gus mengehadkan ruang pemulihan keuntungan pengeluar.
Kenaikan tarif gas tambah tekanan kos
Dalam perkembangan berkaitan, pengeluar sarung tangan turut berdepan peningkatan kos tenaga apabila tarif gas asli meningkat kepada RM59 bagi setiap juta unit terma British (MMBtu), berbanding purata RM49.90/MMBtu pada suku September 2026.
CIMB Research berkata, kenaikan itu memberi kesan langsung kepada struktur kos industri memandangkan gas asli merangkumi antara 10% hingga 15% daripada keseluruhan kos pengeluaran sarung tangan.
Tekanan kos dijangka berterusan apabila kenaikan gaji minimum yang dijadualkan bermula Jun 2027 turut meningkatkan perbelanjaan operasi, khususnya bagi pengeluar yang masih bergantung kepada tenaga kerja dalam jumlah besar.
Berdasarkan anggaran CIMB Research, pelaksanaan kenaikan gaji minimum itu boleh mengurangkan keuntungan industri masing-masing sekitar 4% pada 2027 dan 7% pada 2028.
Firma penyelidikan itu turut memaklumkan bahawa unjuran kewangannya ketika ini masih belum mengambil kira kesan kenaikan gaji minimum berkenaan.
Eksport sarung tangan susut dua bulan berturut-turut
Dari sudut permintaan, jumlah eksport sarung tangan getah Malaysia terus menunjukkan penyusutan apabila merosot 2.5% kepada 54,134 tan pada September 2026 berbanding bulan sebelumnya.
Penurunan itu menyusuli penguncupan 7.7% pada Ogos 2026, sekali gus mencatatkan kemerosotan eksport untuk dua bulan berturut-turut.
CIMB Research berkata, ketidakseimbangan antara permintaan dengan penawaran dalam industri, selain peningkatan tekanan kos, menjadi antara pertimbangan firma itu untuk mengekalkan penarafan 'Neutral' terhadap sektor sarung tangan.
Sektor berkenaan kini didagangkan pada nisbah harga kepada nilai buku (P/B) sebanyak 0.9 kali, namun CIMB Research berpandangan penilaian semasa masih agak tinggi mengambil kira jangkaan keuntungan yang lebih rendah pada 3QFY2026.
Kossan kekal saham pilihan
Dalam kalangan pemain industri, Kossan Rubber Industries Bhd kekal sebagai saham pilihan CIMB Research berikutan pendedahannya yang lebih tinggi kepada produk bukan generik serta kedudukan tunai bersih yang baik.
Kedudukan tunai bersih syarikat itu dianggarkan bersamaan kira-kira 49% daripada permodalan pasarannya, sekali gus memberikan kelebihan dari segi kedudukan kewangan.
Sementara itu, persaingan daripada pengeluar China dilihat masih terkawal buat masa ini berikutan kebimbangan berkaitan bekalan bahan mentah.
Berdasarkan semakan pasaran CIMB Research, perbezaan ASP antara sarung tangan keluaran China dengan Malaysia juga masih kecil berbanding jurang sejarah sekitar AS$1 hingga AS$2 bagi setiap 1,000 unit sebelum berlakunya gangguan bekalan bahan mentah baru-baru ini. - DagangNews.com






