Ajal operator kilang dirempuh ketika bantu mangsa kemalangan

4 Aug 2026 • 5:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ajal operator kilang dirempuh ketika bantu mangsa kemalangan

ARAU – Niat murni seorang lelaki membantu mangsa kemalangan berakhir tragedi apabila dia maut dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Kuala Perlis-Changlun, berhampiran Sungai Chempa, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.25 pagi itu, mangsa bekerja sebagai operator kilang berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, siasatan awal mendapati kereta Honda City dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun dalam perjalanan dari arah Arau menuju Ulu Pauh dipercayai hilang kawalan selepas melalui kawasan digenangi air.

“Kereta itu terbabas ke bahu jalan dan melanggar sebatang pokok. Mangsa yang berada di lokasi kemudian membantu pemandu Honda City terbabit.

“Pada masa sama, sebuah kereta Perodua Axia dipandu wanita berusia 35 tahun dari arah Kangar dipercayai turut terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar mangsa dan pemandu Honda City yang berada di bahu jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke dalam parit di kiri jalan dan disahkan meninggal dunia. Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah untuk dibedah siasat.

Pemandu Honda City yang merupakan anggota Polis Bantuan Universiti Malaysia Perlis mengalami kecederaan patah kaki dan tulang rusuk, manakala pemandu Perodua Axia yang juga seorang doktor, patah tulang rusuk. Mereka dirawat Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Tambahnya, ketika kejadian cuaca dilaporkan hujan lebat menyebabkan permukaan jalan basah, namun aliran trafik di lokasi tidak mengalami kesesakan. – KOSMO! ONLINE

The post Ajal operator kilang dirempuh ketika bantu mangsa kemalangan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved