Tiga maut kemalangan ketika perjalanan hantar anak ke tadika

30 Jul 2026 • 11:12 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiga maut kemalangan ketika perjalanan hantar anak ke tadika

KAJANG: Kemalangan maut yang mengorbankan tiga sekeluarga selepas dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki didakwa positif dadah di Jalan Batu 17, Hulu Langat, semalam terjadi ketika dalam perjalanan untuk menghantar anak ke sekolah.

Bapa kepada mangsa, Rahmat Topani, 65, memaklumkan kejadian berlaku ketika anaknya hendak menghantar isterinya berniaga sebelum menghantar cucu mereka ke tadika yang terletak di Nanding, di sini.

Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripada rakan sebelum bergegas ke lokasi bersama isteri.

“Sampai di situ (lokasi) semua mereka sudah tidak bernyawa. 

“Sebelum kejadian, arwah anak sempat menghantar dua lagi anak lelakinya Tahun Empat dan Dua ke sekolah terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelasnya, arwah kemudian menghantar pula anaknya yang berusia tiga tahun ke tadika serta isterinya untuk berniaga nasi kukus berhampiran stesen minyak di Petronas di Nanding sebelum berlaku kemalangan tersebut.

“Sebelum kejadian, tiada apa yang pelik berlaku dan keadaannya macam biasa sahaja,” ujarnya.

Katanya, ketiga-tiga jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawa, Hulu Langat pada Rabu.

Semalam, kejadian berlaku pada pukul 7.56 pagi selepas motosikal ditunggang mangsa bersama isteri dan anaknya terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan yang dikatakan telah memasuki laluan mangsa hingga berlaku pertembungan.

Insiden tragis itu menyebabkan Hafifi Rahman Rahmat,  34; isterinya Nik Aishah Asilan Nik Mohd Zamzuri, 32 dan anak mereka berusia tiga tahun, Muhammad Rafie Hanzal meninggal dunia di lokasi kejadian.

Siasatan polis mendapati pemandu kereta mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah dan ujian dijalankan mendapati lelaki tempatan berusia 42 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN 

The post Tiga maut kemalangan ketika perjalanan hantar anak ke tadika appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved