Akademi Vokasional McDonald’s buka laluan kerjaya belia, B40

LocalBusiness & Finance
20 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Akademi Vokasional McDonald’s buka laluan kerjaya belia, B40

KUALA LUMPUR: Bagi sebahagian anak muda yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, laluan untuk membina masa hadapan tidak semestinya terhenti di situ.

Pendekatan itu diterapkan melalui Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia yang telah melahirkan hampir 5,500 graduan sejak ditubuhkan pada 2018 dengan kira-kira 80 peratus daripada mereka terus membina kerjaya bersama syarikat berkenaan.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, pencapaian itu membuktikan program berasaskan industri berkenaan mampu menyediakan laluan kerjaya yang jelas kepada golongan muda.

Menurutnya, akademi itu bukan sekadar memberi peluang pekerjaan, malah menyediakan kemahiran dan kelayakan yang diiktiraf untuk membantu peserta membina kerjaya dalam jangka panjang.

“Tahun ini, kita meraikan meraikan seramai 359 graduan sempena Majlis Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia ke-6.

“Apabila kira-kira 80 peratus graduan terus bersama McDonald’s dan lebih 250 telah berkembang ke jawatan penyeliaan dan pengurusan, ia menunjukkan peluang pertama boleh menjadi permulaan kepada kerjaya yang lebih besar,” katanya yang ditemui selepas majlis berkenaan yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur baru-baru ini.

Akademi Vokasional McDonald’s ditubuhkan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan kini dilaksanakan menerusi model Akademi Dalam Industri (ADI).

Program selama 18 bulan itu menggabungkan 30 peratus pembelajaran di dalam kelas dan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s.

Selain itu, ia membolehkan peserta memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 serta berpeluang meneruskan pengajian ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4.

Program ini turut dinilai berdasarkan Code of Practice for TVET Programme Accreditation (COPTPA) yang melibatkan JPK dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

McDonald’s Malaysia merupakan syarikat restoran khidmat segera yang pertama untuk mendapat status MQA ini, yang dapat membantu graduan mendapat kelayakan yang diiktiraf untuk meneruskan pendidikan, meningkatkan kemahiran dan membina kerjaya dalam pelbagai bidang.

Azmir berkata, antara kejayaan terbesar program itu ialah melahirkan graduan yang mampu berkembang daripada peringkat sijil kemahiran sehingga ke jawatan pengurusan tertinggi di restoran.

Katanya, terdapat graduan yang berjaya mencapai jawatan pengurus besar restoran dalam tempoh kira-kira lapan tahun, berbanding kebiasaannya mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk mencapai tahap berkenaan.

“Ini satu pencapaian yang amat besar kerana melalui program SKM ini, ada yang telah mencapai tahap pengurus besar restoran,” katanya.

Jelas Azmir, McDonald’s menyasarkan untuk memperluaskan penyertaan dalam program ADI supaya lebih ramai anak muda, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, luar bandar dan golongan asnaf mendapat peluang berkenaan.

“Kebanyakan pelajar di akademi ini datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Fokus kita adalah memberi peluang kerjaya dan membangunkan masa hadapan anak-anak muda di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, sasaran itu penting kerana masih terdapat golongan muda yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti, tetapi mahu bekerja, membantu keluarga dan pada masa sama mendapatkan kelayakan.

“Bagi mereka yang mungkin tidak terlalu senang untuk ke peringkat universiti tetapi ingin bekerja dan membantu ibu bapa, peluang ini amat luas,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Azhar Darbi berkata, kelebihan utama program itu ialah peserta tidak hanya mempelajari teori, sebaliknya kemahiran yang dipelajari terus digunakan dalam persekitaran kerja sebenar.

“Apabila industri menerajui pembelajaran, apa yang dipelajari itu sangat relevan kepada industri.

“Mereka tidak hanya belajar teori, tetapi apa yang diperoleh boleh terus digunakan dalam industri,” katanya.

Menurutnya, McDonald’s turut mempunyai pekerja dan pengurus yang pernah dihantar ke luar negara termasuk Arab Saudi bagi mendapatkan pengalaman kerja sebelum kembali ke Malaysia dengan kemahiran yang lebih luas.

Azhar berkata, peserta juga menerima elaun sekurang-kurangnya RM1,700 sepanjang mengikuti program, selain kemudahan perlindungan, insurans, rawatan perubatan, makanan dan penginapan.

Katanya, penginapan yang disediakan turut dilengkapi kemudahan asas, manakala peserta berpeluang menerima elaun prestasi dan bayaran tambahan bagi latihan lebih masa, bergantung kepada prestasi masing-masing.

“Apabila mereka tamat, kita mempunyai jabatan yang memantau perkembangan mereka untuk memastikan mereka naik ke peringkat lebih tinggi seperti ketua kru,” katanya.

Beliau berkata, laluan kerjaya yang disediakan membolehkan graduan berkembang daripada kru kepada ketua kru, pengurus restoran, pengurus besar restoran dan seterusnya ke jawatan lebih tinggi termasuk pengarah operasi.

Bagi pelajar, Nur Alina Amira Abdul Rahim, 21, yang merupakan penerima Perantis Terbaik bagi Penilaian Teori melihat akademi sebagai peluang kedua untuk mendapatkan pendidikan selepas memilih untuk bekerja sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Alina berkata, keputusan bekerja dibuat bagi membantu ibunya yang bekerja sebagai pencuci dan mempunyai pendapatan kurang RM2,000, selain perlu menanggung keperluan keluarga.

Kini, selepas mendapat peluang mengikuti akademi, Alina menyasarkan untuk melangkah ke jawatan pengurus dan berhasrat meneruskan pengajian ke peringkat diploma dalam bidang berkaitan.

Kisah berbeza pula dilalui Rozel Iswandy, 19, daripada suku kaum Semai yang berasal dari Kampung Sungai Genting, Batu 9, Chenderiang, Tapah, Perak.

Selepas berhenti daripada pekerjaan kontrak dan menghabiskan kira-kira setahun di kampung, Rozel menerima pelawaan seorang rakan untuk mencuba bekerja di McDonald’s sebelum akhirnya mendapat peluang mengikuti akademi.

Daripada tidak biasa dengan pekerjaan berkenaan, Rozel secara beransur-ansur menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja, pelanggan dan rakan sekerja sehingga akhirnya dinaikkan ke jawatan ketua kru selepas graduasi.

Bagi Rozel, peluang belajar sambil bekerja memberinya ruang untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, selain membina keyakinan diri serta pengalaman yang boleh dibawa dalam perjalanan kerjayanya.

Lebih menyentuh, konvokesyen itu menjadi pengalaman pertama buat anak muda berkenaan merasai suasana graduasi selepas beliau meninggalkan alam persekolahan seawal usia 15 tahun untuk bekerja.

Sementara itu, bagi Mageswaran A/L Nagapan, 43, peluang mengikuti akademi itu hadir ketika beliau langsung tidak menyangka masih akan kembali ke alam pembelajaran pada usia tersebut.

Mageswaran yang sudah enam tahun bekerja bersama McDonald’s, pada awalnya menyangka jemputan menghadiri kelas itu hanya untuk sehari sebelum dimaklumkan bahawa beliau terpilih mengikuti program selama 18 bulan.

Namun, selepas mendapat galakan daripada tenaga pengajar, beliau mengambil peluang tersebut dan akhirnya mencatat pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Perantis Cemerlang Keseluruhan.

Lebih bermakna, graduasi itu menjadi pengalaman pertama Mageswaran menamatkan pengajian secara rasmi, selepas sebelum ini tidak pernah berpeluang melanjutkan pengajian ke kolej atau universiti.

“Ini kali pertama bergraduasi. Saya rasa teruja sangat,” katanya sambil mengakui kejayaan itu membuka keyakinan baharu untuknya membina kerjaya ke peringkat lebih tinggi.

Kini, Mageswaran menyasarkan untuk terus meningkat dalam hierarki McDonald’s, termasuk ke jawatan pengurus restoran dan tidak menolak peluang untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang lain seperti sumber manusia.

Katanya, program itu bukan sahaja memberikan kelayakan, malah menjadikan pengalaman bekerja lebih tersusun serta meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan layanan kepada pelanggan.

McDonald’s Malaysia turut membangunkan Hamburger U, institusi latihan dalaman yang menawarkan kursus pentadbiran, kepimpinan dan pengurusan restoran kepada pekerja serta pelajar universiti yang bekerjasama dengan syarikat itu.

Antara program kerjasama universiti-industri ialah Program Perantis Pengurusan (MAP), Program Kebolehpasaran Kerja Graduan (GEP) dan Program Perantisan Industri (IP).

Selain itu, program 3 Tahun Universiti – 1 Tahun Industri (3U1i) bagi pengajian ijazah sarjana dan sarjana muda turut memberi peluang graduan menerima tawaran pekerjaan sebaik tamat pengajian.-UTUSAN

The post Akademi Vokasional McDonald’s buka laluan kerjaya belia, B40 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved