
ARAU: Akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu parti itu kembali membina kekuatan dan seterusnya menyertai jajaran politik baharu yang lebih baik.
Setiausaha Bersatu Bahagian Arau, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, Bersatu sukar untuk bergerak solo atau menggunakan lambang sendiri setelah melihat kepada prestasi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Katanya, PRN Negeri Sembilan menyaksikan Bersatu pertama kali menggunakan logo sendiri yang mana masih ramai belum mengenali parti itu melainkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Bersatu mungkin kena ada jajaran politik baharu iaitu jajaran yang tidak membawa mudarat atau lebih baik daripada sebelum ini. Akar umbi berharap jajaran politik kali ini adalah lebih baik yang mampu kembali mengukuhkan parti itu.
“Atau pun, jika tidak mempunyai jajaran baharu, adalah lebih baik untuk Bersatu kembali mencari titik temu bersama gabungan sebelum ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kelmarin Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keanggotaan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) gugur secara automatik susulan pengumuman Muhyiddin menyatakan hasrat membentuk gabungan politik baharu.
Bagaimanapun, Bersatu menegaskan kedudukannya dalam PN masih kekal dan tidak berubah kerana parti itu belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan politik termasuk Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
Bersatu menjadi parti paling teruk terjejas pada PRN Negeri Sembilan Ke-16 baru-baru ini apabila 23 daripada 24 calonnya hilang wang deposit selepas gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu per lapan daripada keseluruhan jumlah undi yang dikira.
Wan Zikri yang juga Exco kerajaan negeri berkata, segala keputusan tersebut, terserah kepada pucuk kepemimpinan Bersatu yang sudah tentu tahu apa lebih sesuai dilakukan demi kesinambungan parti berkenaan.
Katanya, prestasi Bersatu dalam PRN Negeri Sembilan dan sebelum ini Johor agak mengecewakan dan ia perlu diberikan perhatian serius sebelum mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang jauh lebih mencabar.
“Bersatu mampu kembali membina kekuatan dan ia perlu segera dilakukan,” katanya.
The post Akar umbi mahu Bersatu sertai jajaran baharu appeared first on Utusan Malaysia.






