
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mempersoalkan tindakan terhadap pihak yang didakwa memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah bangunan MCA, selain menyifatkan permohonan maaf semata-mata tidak mencukupi.
Beliau berkata, tindakan sedemikian tidak seharusnya berakhir dengan permohonan maaf dan peletakan jawatan individu yang terlibat, sebaliknya perlu disusuli dengan siasatan bagi memastikan perkara itu tidak berulang.
“Saya nak tanya kepada MCA, takkanlah itu saja? Takkan dia biar itu saja?” katanya menerusi satu kenyataan video yang dikongsikan.
Menurut Akmal, rakyat kini sudah muak dengan tindakan memasang bendera Malaysia secara terbalik sebelum perkara tersebut diselesaikan hanya dengan permohonan maaf.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya memperketatkan undang-undang serta hukuman lebih berat terhadap mana-mana pihak yang sengaja melakukan perbuatan sedemikian.
“Dah cukup-cukuplah bendera Malaysia ini diperlakukan begitu saja. Kami dah minta daripada dulu lagi agar ada satu undang-undang diperketatkan lagi, tambah hukuman yang jauh lebih berat kepada mereka yang sengaja melakukan perkara sedemikian,” katanya.
Baca juga:
- Akmal gesa kerajaan tegas isu bendera terbalik
MCA Perak mohon maaf isu Jalur Gemilang dan bendera negeri dipasang terbalik
‘Mont Kiara milik Malaysia bukan warga Korea’- Syerleena
Tindakan yang tidak boleh diterima
Akmal turut menegaskan bahawa pendirian itu terpakai kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang politik, kaum atau warna kulit.
Katanya, sebarang tindakan yang dilihat cuba memperlekehkan Jalur Gemilang tidak boleh diterima dan perlu dikenakan tindakan sewajarnya.
“Saya tetap konsisten, sama ada kamu kawan, kamu lawan, kamu siapa sekalipun, tak kisahlah warna kulit apa, warna politik apa sekalipun. Apabila cuba untuk memperlekehkan bendera kita ini, tindakan sebegini tidak boleh kita terima,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta pihak polis menjalankan siasatan dan memaklumkan kepada rakyat mengenai hasil serta perkembangan kes berkenaan.
Beliau berkata, masyarakat tidak mahu isu seperti itu berakhir sekadar dengan permohonan maaf tanpa mengetahui hasil siasatan pihak berkuasa.
“Tak kiralah dia parti apa sekalipun, tak kiralah dia bangsa apa sekalipun, rakyat perlu tahu apakah hasil siasatan pihak polis untuk kes-kes yang sedemikian,” katanya.
Akmal sekali lagi menggesa kerajaan mengambil langkah lebih tegas dengan memperkukuhkan hukuman sedia ada supaya dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak memandang ringan simbol negara.
The post Akmal gesa kerajaan tegas isu bendera terbalik appeared first on The Reporter.






