Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan alasan tidak menyedari kesilapan pemasangan Jalur Gemilang dan bendera negeri sebagai tidak lagi munasabah.
Beliau berkata, tindakan undang-undang perlu diperketatkan dengan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pihak yang melakukan kesalahan berkenaan tanpa mengira latar belakang.
“Buat dulu lepas tu minta maaf. Bosan dah.
“Tindakan undang-undang mesti diperketatkan dengan beri hukuman yang lebih berat kepada mereka ini tidak kira warna kulit atau warna parti politik.
“Alasan tidak perasan ni dah tidak logik.
“Orang kurang waras pon tahu cara pemasangan bendera dengan betul!!” katanya.

Terdahulu, MCA Perak memohon ampun kepada Sultan Perak dan rakyat negara ini susulan isu pemasangan Jalur Gemilang dan bendera negeri secara terbalik di ibu pejabatnya yang tular hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan memandang serius insiden berkenaan.
Beliau berkata, kesilapan yang tidak disengajakan itu telah diperbetulkan segera, manakala kakitangan yang terlibat meletakkan jawatan serta-merta.
“Kejadian berlaku pada pagi tadi apabila seorang kakitangan Ibu Pejabat MCA Negeri Perak yang telah berusia ditugaskan memasang dan memacakkan Jalur Gemilang serta bendera Negeri Perak sempena meraikan Bulan Kemerdekaan.
“MCA Perak menegaskan bahawa ini adalah kesilapan yang tidak disengajakan dan tiada niat sedikitpun untuk menghina Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak,” katanya.

Hang Soon berkata, sebaik sahaja kesilapan itu disedari, kedua-dua bendera berkenaan diturunkan serta-merta sebelum dikibarkan semula dengan betul.
Dalam masa sama, MCA Perak mengesahkan mereka telah dikunjungi pegawai polis dari Balai Polis Ipoh kira-kira pukul 1 petang tadi bagi menjalankan siasatan dan merakam percakapan kakitangan terbabit serta pegawai pentadbiran ibu pejabat.
“MCA Perak telah dan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.
“Kakitangan terbabit melahirkan rasa kesal dengan kejadian tersebut dan telah secara sukarela menawarkan diri untuk meletak jawatan,”ujar beliau.
Hang Soon berkata, Ibu Pejabat MCA Negeri Perak menerima keputusan berkenaan atas dasar menghormati keputusan peribadi kakitangan terbabit.
“Dia telah berkhidmat dengan penuh dedikasi selama bertahun-tahun. Kami akan menguruskan hal-hal berkaitannya berhubung perkara ini dengan sewajarnya,” katanya.
Sumber: FB Akmal Saleh






