AKPS teliti semula SOP saringan KLIA

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 5:53 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AKPS teliti semula SOP saringan KLIA

SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) saringan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan kes penyeludupan dadah yang dikesan pihak berkuasa Indonesia membabitkan seorang kru penerbangan dari Malaysia.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat khas pagi tadi bersama agensi berkaitan termasuk Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, semakan awal mendapati suspek telah melalui semua proses saringan keselamatan sebelum menaiki pesawat dan berlepas ke Indonesia pada 28 Julai lalu.

Menurutnya, bagasi suspek juga tidak menunjukkan sebarang imej mencurigakan ketika melalui proses imbasan menggunakan mesin pengimbas keselamatan di KLIA.

“Suspek telah melalui semua proses saringan dan dalam pemeriksaan biasa menggunakan pengimbas, beg yang dibawa tidak memberi apa-apa imej mencurigakan, justeru ia melepasi saringan yang dilaksanakan pihak keselamatan lapangan terbang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd. Shuhaily berkata, pihaknya kini menunggu maklum balas daripada PDRM berhubung modus operandi suspek menyembunyikan dadah jenis MDMA dan metamfetamin sehingga gagal dikesan ketika pemeriksaan awal.

“Soal bagaimana beliau dapat melepasi saringan itu masih dalam penelitian dan kita menunggu maklum balas daripada PDRM.

“Modus operandi menyeludup dengan menyaluti atau menyembunyikan MDMA dan metamfetamin itu adalah sesuatu yang sedang kita tunggu daripada pihak PDRM,” katanya.

Beliau berkata, PDRM juga difahamkan sedang berusaha menghantar pegawai untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa narkotik Indonesia bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan sistem saringan keselamatan di KLIA telah dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan dan digunakan sepenuhnya dalam kes tersebut.

“Perbincangan lanjut akan merangkumi bagaimana kita boleh memperbaiki sistem dan juga mesin yang kita ada hari ini,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan PDRM akan dijadikan asas untuk menambah baik SOP, sistem serta kelengkapan saringan di semua pintu masuk negara bagi memperkukuh aspek keselamatan dan mengelakkan insiden sama berulang. – UTUSAN

The post AKPS teliti semula SOP saringan KLIA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved