sarah05/11/2026 - 12:39 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov - Sistem kewangan Malaysia semakin maju sehingga melonjakkan kedudukan negara dalam indeks global, namun semakin kurang pengguna merasakan mereka mendapat akses dan sokongan kewangan yang mencukupi, menurut laporan Principal Financial Group (PFG).
Tinjauan Indeks Keterangkuman Kewangan Global 2026 mendapati hanya 66.6% responden Malaysia merasakan mereka mempunyai akses dan sokongan kewangan yang mencukupi, berbanding sekitar 70% pada 2025 dan 76% pada 2022, meskipun kedudukan negara meningkat enam anak tangga ke tempat ke-15 dunia.
Laporan yang diterbitkan bersama Centre for Economics and Business Research (Cebr) itu menunjukkan Malaysia mencatat peningkatan kedudukan terbesar dalam kalangan 42 pasaran yang dikaji, dengan skor keseluruhan meningkat lima mata kepada 58.2, mengatasi purata global 52.0 dan Asia Tenggara 48.0 mata.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Principal Asset Management Bhd, Munirah Khairuddin berkata, pemodenan sektor kewangan membolehkan lebih ramai individu menggunakan perkhidmatan kewangan, selain meningkatkan akses kepada pembiayaan dan memperkukuh keyakinan perniagaan.
“Malaysia mencatat peningkatan terbanyak dalam keterangkuman kewangan pada tahun ini. Ini menunjukkan bagaimana pemodenan sektor kewangan dapat meningkatkan akses kepada pembiayaan, memperkukuh keyakinan perniagaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Principal Asset Management merupakan syarikat usaha sama antara Principal Financial Group, kumpulan perkhidmatan kewangan global berpangkalan di Amerika Syarikat, dengan CIMB Group Holdings Berhad. Ditubuhkan pada 1994, syarikat itu menawarkan perkhidmatan pengurusan aset, pelaburan unit amanah dan penyelesaian persaraan di Malaysia.
Akses kewangan meningkat, persepsi pengguna masih menjadi cabaran
Walaupun Malaysia berada di kedudukan kelapan dunia dari segi persepsi terhadap akses kewangan, peratusan pengguna yang merasakan mereka mempunyai akses dan sokongan kewangan mencukupi telah menurun sebanyak sembilan mata peratusan sejak 2022. Pada masa sama, 70.2% responden Malaysia berpandangan kerajaan menyokong usaha memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan.
Di peringkat global, skor keterangkuman kewangan mencapai paras tertinggi dalam sejarah pada 2026, namun persepsi pengguna merosot ke paras terendah pernah direkodkan. Laporan itu menyatakan keadaan berkenaan mungkin mencerminkan peningkatan jangkaan pengguna dan tekanan kos sara hidup yang tidak seiring dengan kemajuan sistem sokongan kewangan.
Pembayaran digital pacu kedudukan Malaysia
Malaysia melonjak enam anak tangga ke kedudukan ke-13 dunia bagi sokongan sistem kewangan, dengan skor meningkat 8.1 mata kepada 59.5. Kemajuan itu didorong pertambahan transaksi masa nyata yang membawa Malaysia naik tujuh anak tangga ke tempat kesembilan dunia, selain peningkatan akses kepada kredit dan modal.
Bagaimanapun, Malaysia masih berada di kedudukan ke-33 dunia bagi akses kepada modal dan ke-26 bagi akses kepada akaun bank, menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluas kemudahan kewangan kepada individu serta perniagaan.
Sokongan majikan antara lima terbaik dunia
Malaysia turut menduduki tempat kelima dunia bagi sokongan majikan dengan skor 72.6, meningkat dua anak tangga berbanding tahun sebelumnya. Pencapaian itu berbeza dengan trend global apabila sokongan majikan merosot di 35 daripada 42 pasaran yang dikaji, manakala Malaysia berada di tempat pertama bagi penunjuk skim insurans pekerja.
Bagi sokongan kerajaan pula, Malaysia berada di kedudukan ke-26 dengan skor 53.6, turun satu anak tangga berbanding tahun lalu tetapi masih mengatasi purata global dan Asia Tenggara sebanyak 45.7 mata.
Indeks Keterangkuman Kewangan Global yang diperkenalkan pada 2022 menilai akses kepada perkhidmatan kewangan seperti pembayaran, simpanan, kredit dan insurans berdasarkan sokongan kerajaan, sistem kewangan serta majikan. Tinjauan pengguna bagi edisi 2026 melibatkan 21,500 responden di 42 pasaran, termasuk 500 responden Malaysia, antara April hingga Jun 2026. - DagangNews.com






