
KUALA LUMPUR - Tujuh warga Yemen ditahan selepas dipercayai melakukan aksi berbahaya dari dua kenderaan yang sedang bergerak di Jalan Sungai Besi, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu dikesan selepas rakaman video aksi berkenaan tular di platform Threads.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan dari Jalan Sungai Besi menuju ke Jalan Bukit Bintang, ketika beberapa penumpang dilihat menjulurkan tubuh keluar dari kenderaan selain duduk di bahagian tingkap.
“Lima daripada mereka merupakan pelajar di sebuah universiti awam di Kedah, manakala dua lagi adalah lepasan universiti,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Zamzuri berkata, hasil siasatan terhadap pemandu kedua-dua kenderaan mendapati aksi berbahaya itu dipercayai dilakukan sekadar untuk berseronok ketika mereka meraikan majlis perkahwinan seorang rakan.
Kesemua pemandu dan penumpang yang terlibat telah ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai atau melulu sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500, atau kedua-duanya sekali.
Mohd Zamzuri turut meminta orang ramai atau mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee atau mana-mana balai polis berhampiran. - Getaran, 29 Ogos 2026




![[VIDEO] Raikan perkahwinan, warga Yemen buat aksi bahaya atas kereta](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-29-at-07.04.15-1024x682.jpeg)

