Padah berlumba, pandu secara zig-zag, dua lelaki dipenjara tiga hari

LocalCars
26 Aug 2026 • 9:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Padah berlumba, pandu secara zig-zag, dua lelaki dipenjara tiga hari
Kedua-dua tertuduh ketika hadir di Mahkamah Tawau pada Rabu.

TAWAU - Tindakan dua lelaki melakukan aksi berbahaya dengan berlumba di Jalan Apas membawa padah apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Tertuduh, Sunardi Mardeka, 21, dan Ruslimin Alie, 53, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa mengambil bahagian dalam perlumbaan atau ujian kelajuan tanpa kebenaran pada jam 6.22 pagi, 22 Jun lalu, membabitkan laluan antara Batu 6 hingga Batu 8, Jalan Apas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Sunardi yang memandu Perodua Bezza dalam perjalanan dari Batu 2 menuju Batu 15, Jalan Apas.

Ketika tiba di Batu 5, Jalan Apas, sebuah Honda Civic dipandu Ruslimin berada di hadapannya sebelum kenderaan itu beberapa kali memecut dan menekan pedal minyak dengan kuat.

Tindakan itu menarik perhatian Sunardi sebelum kedua-dua pemandu saling mencabar dan tidak mahu mengalah antara satu sama lain.

Kedua-dua kenderaan kemudian memecut dan saling mengejar sambil memintas kenderaan lain secara zig-zag dan berbahaya sehingga ke Batu 13, Jalan Apas.

Aksi berkenaan dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain dalam video berdurasi kira-kira 20 saat sebelum tular di laman Facebook Sabah Worst Drivers pada hari sama.

Rakaman itu menunjukkan kedua-dua kenderaan bergerak dalam keadaan yang konsisten dengan aksi menduga kelajuan dan saling mengejar di jalan awam, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain.

Selain hukuman berkenaan, Sunardi yang tidak memiliki lesen memandu turut didenda RM500 atau penjara tiga hari selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 26(1) APJ 1987.

Pendakwaan dikendalikan Asisten Superintenden Joan Lee manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved