
PUTRAJAYA: Aksi pesawat Sukhoi menggegarkan ruang udara Putrajaya apabila tampil dengan formasi menakjubkan pada pertunjukan udara sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Deruman enjin pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu pantas menarik perhatian ribuan pengunjung yang memenuhi kawasan sekitar.
Lebih mengujakan apabila empat pesawat Sukhoi SU-30MKM melakukan lintas formasi di ruang udara Putrajaya bersama pesawat tempur lain, termasuk empat F/A-18D Hornet dan dua BAE Hawk.
Aksi berkenaan turut diserikan dengan pancaran suar ketika pesawat melakukan lintas hormat, sekali gus mencetuskan sorakan dan tepukan daripada orang ramai yang teruja menyaksikan pertunjukan itu secara langsung.
Lebih mencuri tumpuan, pertunjukan itu diketuai Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris yang menerbangkan pesawat Sukhoi SU-30MKM buat tahun kedua berturut-turut.
Selain pesawat tempur, pertunjukan udara itu turut menampilkan pesawat pengangkut C-130H Hercules, A400M Atlas dan CN235, selain helikopter EC725 serta AW139 milik TUDM.
Helikopter Pasukan Udara Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia turut menyertai lintas hormat berkenaan.
Suasana di Dataran Putrajaya bertambah gamat apabila pelbagai aset udara negara melintasi ruang udara secara berformasi, memperlihatkan keupayaan serta kerjasama bersepadu antara agensi keselamatan dan penguatkuasaan. – UTUSAN
The post Aksi Sukhoi gegar bumi Putrajaya, tampil formasi menakjubkan appeared first on Utusan Malaysia.



![[VIDEO] Panglima TUDM membelah ruang udara Putrajaya](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/tudm-hari-kebangsaan-1024x724.jpeg)


