
MELAKA: Deruman pesawat tempur Sukhoi dan pesawat angkut taktikal C130-H Hercules menggegarkan ruang udara Klebang hari ini apabila kedua-dua aset berkenaan melaksanakan lintas hormat udara sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka.
Pertunjukan udara penuh gilang-gemilang itu menjadi antara detik paling mencuri tumpuan lebih 70,000 pengunjung yang membanjiri Persiaran Jalan Pantai, Klebang buat pertama kali diadakan sambutan Hari Kebangsaan.
Lebih istimewa, lintas hormat udara membabitkan pesawat tempur Sukhoi dan pesawat angkut taktikal C130-H Hercules itu dilaksanakan untuk tahun kedua berturut-turut pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri, sekali gus memperlihatkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Deruman enjin pesawat yang membelah langit Klebang itu disambut sorakan dan tepukan gemuruh orang ramai yang tidak melepaskan peluang merakam detik berkenaan sebagai kenangan sambutan Hari Kebangsaan.
Pertunjukan udara Sukhoi dan C130-H Hercules itu sekali gus menjadi simbol kekuatan pertahanan negara yang disaksikan rakyat dalam suasana sambutan kemerdekaan, selain mengingatkan generasi hari ini bahawa keamanan dan kedaulatan negara perlu sentiasa dipelihara.
Turut mencuri perhatian sambutan itu diserikan dengan persembahan human graphic terbesar membabitkan 2,500 peserta, selain persembahan kebudayaan oleh artis tempatan dan pelajar, persembahan pancaragam lagu patriotik serta pertunjukan darat oleh pasukan keselamatan.
Persembahan khas membabitkan kanak-kanak dan komuniti setempat turut menambahkan warna-warni sambutan, manakala lautan Jalur Gemilang yang dikibarkan pengunjung menyemarakkan lagi suasana patriotik di Klebang.
Hadir sama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua-ketua jabatan.
Sambutan tahun ini turut menyaksikan penyertaan 12,000 peserta daripada 158 kontinjen yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat dalam perbarisan dan perarakan penuh istiadat.
Sebanyak 32 kenderaan pelbagai jenis turut mengambil bahagian, termasuk aset keselamatan, kenderaan teknikal, perkhidmatan awam serta kenderaan berhias kreatif yang mempamerkan kepelbagaian fungsi jabatan dan agensi di negeri ini.
Tema sambutan tahun ini, ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, dizahirkan menerusi penglibatan menyeluruh rakyat negeri itu dalam meraikan kemerdekaan negara.
Perbarisan penuh istiadat turut membabitkan jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan serta negeri, selain pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Turut menyertai sambutan ialah badan bukan kerajaan (NGO), badan beruniform sekolah dan institusi pengajian tinggi, persatuan komuniti serta wakil syarikat swasta dan sektor korporat.
Kerajaan negeri dalam satu kenyataan hari ini turut memaklumkan lebih 150,000 pengunjung hadir sepanjang tiga hari program berlangsung, manakala hari ini sahaja menyaksikan lebih 70,000 pengunjung tempatan dan pelancong membanjiri kawasan Persiaran Jalan Pantai, Klebang.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka bukan sahaja menjadi wadah memperingati jasa pejuang kemerdekaan, malah mencerminkan kesatuan rakyat dalam memastikan negeri ini terus maju dan makmur seiring aspirasi Malaysia MADANI.
Sejak seawal pukul 4.00 pagi orang ramai mula datang untuk menyaksikan menyaksikan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-69 kira-kira pukul 6.00 pagi laluan di kedua-dua hala di jalan klebang sesak teruk. – UTUSAN
The post Sukhoi, C130-H gegar langit Klebang sempena Hari Kebangsaan appeared first on Utusan Malaysia.






![[VIDEO] Panglima TUDM membelah ruang udara Putrajaya](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/tudm-hari-kebangsaan-1024x724.jpeg)