
PUTRAJAYA - Ruang udara Putrajaya bergema dengan deruman enjin pesawat hari ini apabila puluhan ribu penonton disajikan pertunjukan udara penuh aksi sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Pertunjukan udara yang menjadi antara acara kemuncak sambutan itu membabitkan aset daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Antara aset yang mengambil bahagian ialah pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM dan Hawk, pesawat pengangkut A400M Atlas serta beberapa helikopter yang dikendalikan agensi keselamatan dan penyelamat negara.
Pertunjukan berkenaan diketuai Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris, yang menerbangkan sendiri pesawat Sukhoi SU-30MKM.
Kemunculan beliau di ruang udara Dataran Putrajaya disambut sorakan dan tepukan gemuruh daripada orang ramai yang memenuhi kawasan sekitar pentas utama.
Empat pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM kemudiannya mempersembahkan beberapa formasi udara yang kemas dan tepat, sekali gus menyerlahkan kemahiran juruterbang TUDM serta keupayaan aset tempur udara negara.
Formasi itu turut diserikan dengan kemunculan empat pesawat F/A-18D Hornet dan dua pesawat pejuang Hawk 208, yang memperlihatkan ketangkasan serta keupayaan tempur TUDM.
Pertunjukan turut menampilkan pesawat pengangkut C-130H Hercules, A400M Atlas dan CN235, mencerminkan keupayaan TUDM yang merangkumi sokongan operasi tempur selain tugasan logistik.
Aset sayap putar turut menambah kemeriahan pertunjukan, termasuk helikopter EC725 milik TUDM.
Ia disertai helikopter operasi maritim AW139 (HOM) kendalian Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selain helikopter MD530G dan AgustaWestland AW109 daripada Kor Udara Tentera Darat Malaysia.
Pesawat dan helikopter milik JBPM serta PDRM turut mengambil bahagian dalam pertunjukan berkenaan.
Orang ramai memenuhi kawasan sekitar Dataran Putrajaya, dengan sebahagian besar tidak melepaskan peluang merakam aksi pesawat menggunakan telefon bimbit sebelum sorakan dan tepukan bergema setiap kali pesawat melintasi pentas utama.
Formasi yang diselaraskan dengan rapi bukan sahaja menyajikan pemandangan mengagumkan kepada penonton, malah memperlihatkan tahap kesiapsiagaan, keupayaan operasi serta kekuatan aset pertahanan, keselamatan dan tindak balas kecemasan negara.
Gabungan aset daripada pelbagai agensi itu turut melambangkan kerjasama bersepadu antara pasukan pertahanan, penguat kuasa dan penyelamat dalam memastikan kedaulatan negara serta keselamatan rakyat terus terpelihara.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 tahun ini membabitkan seramai 10,819 peserta, 328 aset dan 112 haiwan perkhidmatan. - Getaran, 31 Ogos 2026






![[VIDEO] Panglima TUDM membelah ruang udara Putrajaya](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/tudm-hari-kebangsaan-1024x724.jpeg)