Aksi terjun 4,500 kaki VAT 69 curi tumpuan pengunjung Stadium Kajang

31 Aug 2026 • 7:55 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Aksi terjun 4,500 kaki VAT 69 curi tumpuan pengunjung Stadium Kajang

KAJANG, 31 OGOS: Aksi enam anggota elit VAT 69 Komando terjun dari ketinggian kira-kira 4,500 kaki menjadi antara tarikan utama Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Selangor Ke-69 di Stadium Kajang, malam tadi.

Asisten Superintendan (ASP) Cawangan Latihan Para 69 Komando, Mohd Yusrezal Mohd Yusof berkata aksi berkenaan mencatat pengalaman pertama pasukannya membuat persembahan terjunan sempena sambutan Hari Kebangsaan di Selangor.

Beliau yang juga kapten terjunan berkata keenam-enam anggota membawa bendera sebagai simbolik pasukan 69 Komando sepanjang aksi berkenaan.

Image from: Aksi terjun 4,500 kaki VAT 69 curi tumpuan pengunjung Stadium Kajang
ASP Mohd Yusrezal Mohd Yusof, Penerjun Payung Terjun ditemu duga selepas pertunjukkan payung terjun di Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Selangor 2026 di Stadium Kajang, Selangor pada 30 Ogos 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

“Memang agak mencabar, tetapi kami sudah membuat persiapan dari awal termasuk menjalani latihan pada waktu petang dan malam sejak 26 Ogos lalu.

“Cabaran tetap ada kerana penerjunan malam memerlukan pencahayaan, namun aspek keselamatan diberi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Selangor 2026 di Stadium Kajang, di sini malam tadi.

Mohd Yusrezal yang sudah 13 tahun berkhidmat dalam VAT 69 Komando berkata, setiap anggota turut diberikan panduan bagi mengelakkan mereka tersasar ketika melakukan penerjunan.

Sementara itu, pengunjung, Nurul Natasha Sharudin, 35, dari Gombak berkata, beliau hadir bersama suami dan anak bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.

Image from: Aksi terjun 4,500 kaki VAT 69 curi tumpuan pengunjung Stadium Kajang
Nurul Natasha Sharudin, ditemu duga semasa Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Selangor 2026 di Stadium Kajang, Selangor pada 30 Ogos 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

“Saya memang suka datang sambutan seperti ini, terutama untuk meraikan Hari Kemerdekaan bersama keluarga. Macam hari ini pertunjukan payung terjun pun sangat menarik pertama kali tengok depan mata.

“Selain itu, anak-anak juga dapat merasai sendiri pengalaman menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan dengan pelbagai lagi pertunjukan menarik,” katanya yang memakai baju bertema Jalur Gemilang bersama suami dan anak.

Bagi Wan Kong Hon, 60, sambutan berkenaan memberi peluang kepadanya menghayati erti kemerdekaan selain menjadi acara yang sering dihadirinya.

Image from: Aksi terjun 4,500 kaki VAT 69 curi tumpuan pengunjung Stadium Kajang
Wan Kong Hon, ditemu duga semasa Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Selangor 2026 di Stadium Kajang, Selangor pada 30 Ogos 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

“Saya datang untuk meraikan hari kemerdekaan negara kita, hari kemenangan Malaysia.

“Saya hadir seorang sahaja kerana lokasi ini dekat dengan rumah dan memang kerap menghadiri sambutan seperti ini. Saya suka kerana tahun ini dekat sahaja dan berharap ia dianjurkan lagi,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved