Laungan ‘Merdeka’ tujuh kali, 20,000 pengunjung gegarkan Stadium Kajang

31 Aug 2026 • 1:11 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Laungan ‘Merdeka’ tujuh kali, 20,000 pengunjung gegarkan Stadium Kajang

KAJANG, 31 OGOS: Stadium Kajang malam tadi bergema dengan laungan ‘Merdeka’ yang dipimpin Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai simbolik menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Selangor ke-69.

Tepat jam 12 tengah malam, Amirudin tampil memimpin detik bersejarah itu dengan laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali penuh semangat, yang disambut lebih 20,000 pengunjung.

Suasana bertambah meriah apabila langit Stadium Kajang turut diterangi pertunjukan bunga api yang memukau penonton.

Terdahulu, pengunjung disajikan dengan persembahan pembukaan, gimik oleh pasukan badan beruniform serta perbarisan dan perarakan 69 kontinjen membabitkan pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, badan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah di negeri ini.

Perarakan turut menampilkan aset serta jentera pelbagai agensi termasuk pasukan keselamatan negara, selain persembahan badan beruniform seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kemuncak sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan artis tanah air antaranya Datuk Ramli Sarip, Datuk Awie, Ukays, Wani Kayrie, Ahfad, Fiza Frizty dan Gerhana Ska Cinta.

Pada sambutan sama, buat julung kalinya Kerajaan Negeri menobatkan dua orang penerima Anugerah Tokoh Kemerdekaan Selangor 2026 kepada pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sjn (B) Bahari Ismail.

Beliau merupakan seorang “wira hidup” yang terlibat secara langsung dalam Ops Bamboo di Gerik, Perak pada 1976 apabila konvoi pasukan diserang hendap kira-kira 40 pengganas komunis.

Tiga peluru menembusi tubuhnya, manakala empat lagi kekal dalam badan sehingga kini kerana risiko pembedahan yang tinggi, menjadikannya antara ‘wira hidup’ yang membawa kesan fizikal pengorbanan demi mempertahankan kedaulatan negara.

Manakala, Tokoh Kemerdekaan kedua pula dianugerahkan kepada Tan Sri Dato’ Paduka Wan Mahmood Pawan Teh yang pernah dilantik Ahli Dewan Diraja Selangor dan Orang Besar Daerah Gombak.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved