
TANJUNG MALIM: Kerangka perundangan baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu memberi tumpuan kepada pembentukan mahasiswa yang bertanggungjawab, beradab, berakhlak dan berilmu, bukan sekadar kebebasan bersuara.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, undang-undang baharu itu perlu membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh dan sesuai dengan perkembangan semasa.
Katanya, kerangka berkenaan juga mampu memperkukuh autonomi universiti, sekali gus membantu melahirkan insan cemerlang serta menggalakkan perkembangan ilmu dan inovasi.
“Semua warga institusi pendidikan tinggi termasuk mahasiswa mempunyai amanah dan peranan penting dalam membina Malaysia yang sejahtera, maju dan disegani di peringkat serantau.
“Institusi pendidikan tinggi dan mahasiswanya adalah cerminan kemajuan sesebuah negara,” katanya.
Menurutnya, tadbir urus universiti perlu mengambil kira aspirasi negara, keperluan industri dan kepentingan masyarakat supaya institusi pendidikan tinggi lebih berkesan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Katanya, reformasi itu juga perlu melibatkan semua pihak termasuk kerajaan, mahasiswa, ibu bapa, pentadbir, warga institusi pendidikan tinggi, industri dan masyarakat.
“Mahasiswa dan ahli akademik perlu berani meneroka idea serta wacana baharu, selain memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Md. Amin berkata, UPSI bersedia berkongsi kepakaran dan pengalaman dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membangunkan kerangka perundangan baharu berkenaan.
Katanya, pembaharuan itu perlu selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 bagi memastikan institusi pendidikan tinggi terus melahirkan generasi berilmu, seimbang dan mampu bersaing di peringkat global.-UTUSAN
The post Akta baharu pendidikan tinggi jangan hanya fokus kebebasan appeared first on Utusan Malaysia.






