UiTM sedia bantu bentuk kerangka baharu ganti AUKU

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 7:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

UiTM AUKU

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersedia memberi pandangan dan kepakaran dalam proses libat urus bagi pembentukan kerangka baharu menggantikan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang akan dimansuhkan.

Walaupun UiTM ditubuh dan ditadbir di bawah Akta UiTM 1976 (Akta 173), namun terdapat beberapa perkara yang sejajar seperti kerangka tadbir urus dan perundangan sebagai sebuah universiti awam.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, meskipun UiTM tidak tertakluk kepada AUKU, namun terdapat persamaan dari segi prinsip dan peruntukan di dalam Akta 173.

Katanya, sebarang pembaharuan menyeluruh terhadap ekosistem perundangan pendidikan tinggi wajar turut dilihat daripada perspektif kesesuaian dan keperluan UiTM.

“UiTM menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memastikan kerangka perundangan pendidikan tinggi negara sentiasa relevan, progresif dan mampu menjawab keperluan semasa serta masa  hadapan.

“Sebagai sebuah universiti yang ditadbir melalui Akta 173, UiTM bersedia memberikan pandangan dan kepakaran dalam proses libat urus yang akan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberikan kebebasan lebih luas kepada mahasiswa.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan masih terdapat pihak yang tidak berpuas hati meskipun beberapa pindaan terhadap akta berkenaan sudah dilakukan.

Dalam pada itu, Shahrin berharap transformasi perundangan itu sebagai peluang untuk membentuk ekosistem universiti yang lebih responsif, tangkas dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Perundangan yang baik perlu menjadi pemudah cara kepada kecemerlangan universiti. Ia perlu menyediakan ruang kepada inovasi, kebebasan akademik yang bertanggungjawab, pembangunan kepimpinan mahasiswa, penyelidikan berimpak serta tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti,” jelasnya.

Katanya lagi UiTM melihat perubahan itu sebagai peluang untuk memperkukuh universiti bagi dekad yang akan datang.

“Matlamat akhirnya ialah memastikan institusi pendidikan tinggi bukan sahaja mempunyai tadbir urus yang kukuh, tetapi juga mampu melahirkan graduan yang matang, berintegriti, berdaya fikir, berani menyumbang pandangan dan bersedia memimpin perubahan,” ujarnya. – UTUSAN

The post UiTM sedia bantu bentuk kerangka baharu ganti AUKU appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved