KANGAR - Seorang aktivis direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran di TikTok yang berunsur hasutan berkaitan isu perobohan sebuah kuil Hindu di Bukit Lagi, di sini pada 20 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, lelaki berusia 55 tahun itu direman bermula 4 hingga 5 September selepas mendapat perintah Mahkamah Kangar bagi membantu siasatan.
Menurutnya, polis menerima sebanyak 15 laporan berkaitan hantaran tersebut, iaitu satu laporan utama dan 14 laporan bersangkut antara 22 hingga 27 Ogos lalu.
“Laporan pertama diterima pada 22 Ogos jam 10.46 malam selepas pengadu mendakwa melihat satu hantaran di aplikasi TikTok mengenai penganjuran Perhimpunan Merah Maha Kali pada 30 Ogos dari jam 9 pagi hingga 11 pagi di Tapak Sri Veera Maha Kaliamman Kovil, Bukit Lagi, Kangar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Yusharifuddin berkata, hasil pemprofilan yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan pemilik akaun TikTok berkenaan ialah lelaki itu yang juga seorang jururunding.
“Susulan itu, polis menjalankan tindakan lanjut sebelum menahan suspek di Petaling Jaya jam 10 pagi pada Khamis,” ujarnya.
Katanya, siasatan terhadap hantaran berkenaan mendapati ia mengajak masyarakat menyertai perhimpunan bagi mempertahankan hak dan tempat ibadat agama Hindu.
Menurutnya, hantaran itu turut mengajak masyarakat berhimpun dengan doa, keamanan dan solidariti.
Bagaimanapun, berdasarkan keterangan pengadu, penganjuran perhimpunan berkenaan didakwa sebagai tindak balas terhadap perobohan kuil Hindu di tapak berkenaan pada 20 Ogos lalu mengikut lunas undang-undang.
Pengadu turut mendakwa penganjuran perhimpunan itu berpotensi mencetuskan ketegangan agama dan kaum serta menyifatkannya sebagai satu bentuk hasutan.
Dalam perkembangan sama, polis merampas sebuah telefon bimbit Honor X9C berwarna biru gelap dan satu simkad daripada suspek untuk membantu siasatan.
Yusharifuddin berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.




![“Saya Dah Pun Bersyahadah” – Cikgu Chandra Sahkan Telah Peluk Islam [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/09/Cikgu-Chandra-sahkan-dirinya-telah-peluk-Islam-1.jpg?t=1788514105)

