
SEPANG: Seorang aktivis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat hantaran jelik berkaitan institusi diraja menerusi laman media sosial Instagram pada Januari lalu.
Tertuduh, Islah Wahyudi Zainudin, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Islah Wahyudi didakwa menggunakan aplikasi Instagram melalui akaun ‘randuk malaysia’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik yang melampau sifatnya kira-kira pukul 3.20 petang 14 Januari lalu.
Hantaran itu kemudiannya dilihat kira-kira 3.20 petang pada 24 Januari lalu di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya di Selangor.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya MCMC Fadhli Ab Wahab mencadangkan agar tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin namun peguam Islah Wahyudi, Aidil Khalid kemudian merayu anak guamnya diberi jaminan rendah iaitu RM3,000.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 September depan.
Islah Wahyudi adalah calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, lalu.
Aktivis itu pada PRN Negeri Sembilan lalu mencadangkan agar nama sebuah Port Dickson ditukar kepada Tanjung Kemuning bagi mengangkat identiti dan sejarah kawasan berkenaan.
Sebelum, Islah Wahyudi telah dikenakan kompaun oleh MCMC susulan kes sama namun, tidak menyelesaikan kompaun itu sebaliknya mahu memanjangkan kes itu ke mahkamah. – UTUSAN
The post Aktivis tidak mengaku salah buat hantaran jelik di Instagram appeared first on Utusan Malaysia.





