Aktiviti pelaburan Tabung Haji bakal diletakkan di bawah Jawatankuasa Kawal Selia SC

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 5:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Aktiviti pelaburan Tabung Haji bakal diletakkan di bawah Jawatankuasa Kawal Selia SC Image from: Aktiviti pelaburan Tabung Haji bakal diletakkan di bawah Jawatankuasa Kawal Selia SC johardy11/08/2026 - 17:25 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Aktiviti pelaburan Lembaga Tabung Haji bakal diletakkan di bawah Jawatankuasa Kawal Selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), manakala pengurusan operasi haji akan berada di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, satu pasukan petugas yang turut dianggotai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pengerusi SC telah ditubuhkan bagi meneliti cadangan rangka kerja kawal selia serta pindaan lain terhadap Akta Tabung Haji 1995.

 

“Tabung Haji akan kekal sebagai satu entiti yang utuh,” katanya ketika taklimat menteri pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini, berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji.

 

Menurut laporan RCI, struktur kawal selia yang dicadangkan bertujuan membahagikan tanggungjawab pengawasan tanpa memecahkan Tabung Haji kepada institusi berasingan.

 

Suruhanjaya itu mengesyorkan supaya fungsi pelaburan Tabung Haji kekal dalam institusi berkenaan dan bukannya dipindahkan kepada anak syarikat atau pengurus pelaburan luar.

 

Cadangan itu masih belum mendapat kelulusan muktamad dan Zulkifli tidak memberikan tempoh masa bagi pindaan Akta 535 atau menyatakan bila syor akhir pasukan petugas berkenaan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri.

 

Pindaan Akta 535 perlu diluluskan Parlimen

Zulkifli berkata, pasukan petugas itu akan mengemukakan butiran lanjut kepadanya untuk dipertimbangkan sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri.

 

Sebarang pindaan yang dicadangkan selepas itu perlu dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen.

 

“Bagi memastikan perkara yang dilaporkan oleh RCI tidak berulang, peruntukan undang-undang yang jelas termasuk piawaian perakaunan yang terpakai serta penalti terhadap salah lapor penyata kewangan akan dimasukkan dalam Akta Tabung Haji yang dipinda, selaras dengan syor RCI,” katanya.

 

Pada masa sama, RCI mencadangkan supaya operasi pelaburan diasingkan secara dalaman menerusi penubuhan sebuah jabatan khusus dikenali sebagai Dana Haji, yang akan diwujudkan di bawah Akta 535 serta didaftarkan atau dilesenkan oleh SC.

 

Dana Haji akan mengurus dan melaburkan wang pendeposit bagi menjana pulangan yang stabil, namun kekal sebagai sebahagian daripada Tabung Haji.

 

Suruhanjaya itu berpandangan fungsi pelaburan dan pengurusan haji perlu dikekalkan dalam entiti yang sama kerana pulangan pelaburan digunakan untuk menyokong operasi haji, termasuk menerusi subsidi silang kos jemaah.

 

Dana Haji kekal dalam Tabung Haji

Pengasingan pengurus pelaburan daripada pengendali haji boleh menyukarkan keupayaan Tabung Haji membiayai tanggungjawab berkaitan haji, khususnya selagi bantuan kewangan kepada jemaah kekal sebagai sebahagian daripada model operasinya.

 

RCI turut mencadangkan supaya Dana Haji diterajui sebuah panel pelaburan yang bertanggungjawab terhadap peruntukan aset, pengurusan portfolio, prestasi pelaburan, pengurusan risiko serta pelantikan pengurus portfolio luar.

 

Pegawai kanan pelaburan termasuk Ketua Pegawai Pelaburan akan dilantik oleh Lembaga Pengarah Tabung Haji, namun berada di bawah Jawatankuasa Kawal Selia SC.

 

Cadangan meletakkan fungsi pelaburan di bawah Jawatankuasa Kawal Selia SC serta pindaan terhadap Akta Tabung Haji itu merupakan sebahagian daripada 25 syor RCI yang merangkumi tadbir urus, pengurusan kewangan, aktiviti pelaburan, pengurusan deposit serta operasi haji Tabung Haji. — DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved