
PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan kerugian yang berpunca daripada salah urus kewangan dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum 2018 itu tidak hilang, tetapi ia ditanggung secara bersama.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengesahkan, tahap kerugian hampir RM13 bilion, iaitu kerugian RM10.2 bilion yang ditanggung pihak kerajaan melalui Urusharta Jamaah pada 2018, dan rosot nilai RM2.6 bilion ditanggung TH sendiri.
“Salah urus TH ditanggung semua-beban kerugian yang dipindah ke kerajaan akhirnya dipikul rakyat dan semua pembayar cukai, sementara kerugian yang ditanggung TH akhirnya menjejas pendeposit di Tabung Haji.
“Ini kerana kerugian dipikul semua rakyat, akauntabiliti bukan pilihan,” katanya ketika menggulung perbahasan sidang khas Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH 2014 hingga 2020, di Dewan Rakyat semalam.
Jelasnya, kerajaan memikul kos penyelamatan dengan wang rakyat, wang pembayar cukai yang mana 9.7 juta pendeposit turut memikulnya, menerima kadar agihan serendah 1.25 peratus pada tahun 2018 dan sekitar 3 peratus semasa tahun pemulihan.
Laporan RCI mendapati 14 pelaburan bermasalah dan proses kelulusan mencurigakan, termasuk insiden penyembunyian maklumat serta manipulasi laporan kesesuaian pelaburan.
Sebanyak tujuh daripada 14 pelaburan tersebut telah rugi 100 peratus nilai pelaburan, termasuk Al-Rawda (RM1.8 bilion), Putrajaya Perdana (RM193 juta) dan Trurich Resources (RM364 juta).
Lima kertas siasatan telah dibuka; tuntutan sivil dikejar di dalam dan luar negara, termasuk penyiasatan atas bekas pengerusi dan pengurusan tertinggi berhubung unexplained wealth.
“Kerajaan tidak akan campur tangan dan tidak akan melindungi sesiapa, keputusan pendakwaan terletak sepenuhnya pada Pendakwa Raya.
“Atas sebab yang sama juga, kerajaan komited memastikan krisis ini tidak berulang. Selaras dengan syor RCI, kerajaan akan menyusul dengan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) akan diteruskan, antaranya untuk memperkenalkan kawal selia Suruhanjaya Sekuriti ke atas aktiviti pelaburan Tabung Haji,” katanya.
Bagaimanapun, Amir Hamzah menegaskan, kedudukan Tabung Haji hari ini stabil dan semakin kukuh dengan jumlah aset RM98.58 bilion melebihi liabiliti RM95.63 bilion pada 31 Disember 2025.
Katanya, dana simpanan pendeposit meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025 selain kadar agihan meningkat daripada 1.25 peratus (2018) kepada 3.50 peratus (2025), berjumlah RM3.22 bilion.
Sementara itu, beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menegaskan simpanan pendeposit selamat dengan keseluruhan simpanan setiap pendeposit di Tabung Haji dijamin oleh kerajaan di bawah seksyen 24 Akta 535. Katanya, jaminan yang wujud sejak Tabung Haji ditubuhkan dan masih kekal sehingga ke hari ini.
“Simpanan haji rakyat selamat, dan institusi yang menyimpan cita-cita haji rakyat akan sentiasa dijaga, untuk generasi hari ini dan generasi akan datang,” katanya.-UTUSAN
The post Kedudukan TH kini semakin kukuh, jumlah aset RM98.58 bilion appeared first on Utusan Malaysia.






