
SHAH ALAM – Operasi sebuah pusat karaoke (KTV) yang menawarkan khidmat gadis peneman atau GRO warga asing secara tersembunyi di sebuah pusat beli-belah suram di Klang terbongkar dalam serbuan Jabatan Imigresen (JIM) Selangor, malam tadi.
Lebih mengejutkan, setiap GRO dipercayai dihantar ke premis itu setiap hari menerusi ejen bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat wanita peneman.
Premis di tingkat tujuh itu mempunyai kira-kira 20 hingga 30 bilik dengan kadar sewaan antara RM4,000 hingga RM5,000 setiap satu, selain menggunakan lif khas bagi membawa pelanggan terus ke KTV berkenaan.
Hasil risikan JIM Selangor selama dua minggu mendapati KTV itu menggaji wanita warga asing berusia 20 hingga 40 tahun dari Myanmar, Thailand dan China sebagai GRO.
Malah, terdapat wanita yang dipercayai baru seminggu bekerja di situ, manakala semakan pasport mendapati sebahagian mereka mempunyai rekod keluar masuk Malaysia lebih tiga kali menggunakan pas lawatan sosial.
Pelanggan yang hadir boleh memilih GRO disediakan sebelum wanita terbabit dikumpulkan di bilik khas untuk menemani mereka.
Pemangku Pengarah Imigresen Selangor, Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, KTV tersebut antara empat premis yang diserbu pihaknya dalam operasi bermula pukul 11 malam hingga 4 pagi tadi.
Menurutnya, seramai 35 individu termasuk 12 wanita berjaya ditahan di KTV berkenaan daripada 50 orang yang diperiksa pihaknya.
“Semakan mendapati KTV itu beroperasi pada waktu malam hingga pagi dengan wanita yang ditahan disyaki bekerja sebagai GRO.
“Kita sedang termasuk kemungkinan mereka turut terbabit dalam aktiviti tidak bermoral lain dan kadar upahnya,”katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam operasi sama, pihaknya turut menyerbu dua kilang termasuk premis berkaitan penghantaran barangan serta lima blok penempatan warga asing di sekitar Subang Jaya dan Klang.
Mohmad Khusairi berkata, hasil keseluruhan empat operasi itu, seramai 321 individu diperiksa dan 242 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas serta tinggal lebih masa di negara ini.
“Daripada jumlah itu, warga Bangladesh mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu 57 orang, diikuti India (58), Myanmar (52), Indonesia (44), Vietnam (16), Nepal dan Thailand masing-masing empat orang.
“Turut ditahan ialah warga Pakistan, Laos dan Rohingya masing-masing dua orang serta seorang warga Kemboja,” katanya.
Kesemua tahanan terdiri daripada 180 lelaki dan 62 wanita berusia antara 25 hingga 50 tahun.
Tambah Mohmad Khusairi, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.
“Sebanyak lima borang saman saksi dikeluarkan kepada majikan bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Di luar ‘sendu’, di dalam ada amoi appeared first on Kosmo Online.






