Penggantungan semua aktiviti Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) didakwa berpunca daripada beberapa kepincangan yang berlaku dalam gabungan berkenaan.
Tindakan dibuat susulan aduan salah sebuah parti dalam gabungan
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan, tindakan tersebut dibuat susulan rungutan atau aduan yang dikemukakan oleh salah sebuah parti dalam gabungan PN.
“Tentunya ada beberapa kepincangan yang telah berlaku di dalam Perikatan Nasional (PN) yang menyebabkan penggantungan ini dibuat.
“Kita harap perkara ini dihadapi dengan tenang terutamanya parti-parti yang bergabung dalam PN yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kampus Sultan Azlan Shah.

Foto: Bernama
PN mungkin ada perancangan sendiri
Ahmad Zahid turut berkata PN mungkin mempunyai perancangan tersendiri sekiranya penggantungan berkenaan diteruskan, termasuk menggunakan lambang parti masing-masing untuk menghadapi pilihan raya.
“PN mungkin mempunyai perancangan sendiri sekiranya penggantungan itu diteruskan seperti menggunakan lambang parti masing-masing,” katanya.
Jelasnya, Akta Pertubuhan 1966 digunakan RoS bagi menjaga kepentingan ahli atau anggota pertubuhan yang berdaftar dengan jabatan berkenaan.
Untuk rekod, RoS mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa 23 September 2026 di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.

Foto: Bernama
Menurut RoS, tindakan itu susulan notis yang dikeluarkan pada 22 September 2026 bagi mendapatkan penjelasan PN berhubung aduan yang dikemukakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Walau bagaimanapun, RoS menjelaskan penggantungan tersebut bukan bermaksud pendaftaran PN dibatalkan, sebaliknya memberi ruang kepada gabungan berkenaan untuk mengemukakan penjelasan dalam tempoh yang munasabah.
Sumber: Utusan Malaysia (Megat Lutfi Megat Rahim)






