sarah10/11/2026 - 15:12 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov - Al-‘Aqar Healthcare REIT berpotensi menjual beberapa aset hartanah yang memberikan pulangan lebih rendah bagi mengurangkan nisbah hutangnya kepada sekitar 44%, sekali gus membuka ruang untuk membiayai pemerolehan hospital baharu, menurut AmInvestment Bank Research (AmInvestment).
Firma penyelidikan itu berkata, penjualan keseluruhan pusat kesejahteraan milik Al-‘Aqar bersama aset Jeta dianggarkan mampu mengurangkan nisbah hutang dana amanah pelaburan hartanah (REIT) berkenaan sebanyak tiga hingga empat mata peratusan daripada paras semasa sekitar 48%.
Dalam nota penyelidikan, AmInvestment menjelaskan bahawa langkah menjual aset berpulangan rendah dan menggunakan hasilnya untuk memperoleh hartanah yang menawarkan pulangan lebih tinggi boleh membantu Al-‘Aqar mengukuhkan kedudukan kewangan serta meneruskan rancangan pengembangannya.
Menurutnya, pusat kesejahteraan milik Al-‘Aqar mencatatkan pulangan kira-kira 0.4 mata peratusan lebih rendah berbanding purata keseluruhan portfolio, menjadikan aset berkenaan antara pilihan yang munasabah untuk dilupuskan.
Sasaran aset RM2.5 bilion menjelang 2028
AmInvestment berkata, strategi tersebut penting memandangkan Al-‘Aqar menyasarkan peningkatan nilai hartanah pelaburannya kepada RM2.5 bilion menjelang 2028 berbanding kira-kira RM1.9 bilion ketika ini, namun tahap hutang yang tinggi mengehadkan keupayaannya membiayai pemerolehan baharu.
Firma itu turut mengenal pasti peluang pemerolehan daripada penaja Al-‘Aqar yang masih memiliki 13 hospital serta sebuah bangunan tambahan hospital di luar portfolio REIT berkenaan, termasuk bangunan tambahan Hospital Pakar Puteri di Johor Bahru yang mempunyai nilai buku RM158 juta.
Bagaimanapun, AmInvestment menegaskan bahawa sebarang pemerolehan baharu perlu meningkatkan agihan pendapatan kepada pemegang unit supaya pertumbuhan portfolio turut memberikan manfaat kepada pelabur.
Kos pembiayaan meningkat
Dalam perkembangan berkaitan, Al-‘Aqar baru-baru ini mengemukakan program pembiayaan Islam bernilai RM3 bilion yang merangkumi kertas komersial Islam dan sukuk bagi memberikan lebih fleksibiliti dalam mengurus serta membiayai semula hutangnya.
Menurut AmInvestment, Al-‘Aqar hanya bercadang mendapatkan pembiayaan sukuk jangka panjang sekiranya kos berada antara 4.5% hingga 4.8%, manakala pembiayaan jangka pendek akan digunakan sementara menunggu kadar yang lebih sesuai. Firma itu turut mengurangkan unjuran pendapatan boleh agih bagi 2026 hingga 2028 sebanyak kira-kira 5% susulan peningkatan kos pembiayaan.
Sehubungan itu, AmInvestment menurunkan harga sasaran Al-‘Aqar kepada RM1.20 seunit daripada RM1.25 sebelum ini, sambil mengekalkan saranan ‘Pegang’, dengan mengambil kira tekanan kos pembiayaan, tahap hutang yang tinggi serta peluang pengembangan portfolio hospital pada masa depan.- DagangNews.com






