sarah10/11/2026 - 17:19 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov - Nilai jenama KPJ Healthcare Berhad melonjak 45% kepada AS$305 juta (RM1.28 bilion) pada 2026 berbanding AS$211 juta (RM886 juta) tahun lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyedia penjagaan kesihatan swasta terkemuka di ASEAN.
Menurut laporan Brand Finance ASEAN 500 2026, KPJ Healthcare menduduki tempat kedua dalam kalangan jenama kemudahan penjagaan kesihatan paling bernilai di ASEAN, selain muncul sebagai jenama paling kukuh dalam kategori itu dengan skor Indeks Kekuatan Jenama sebanyak 86.8 daripada 100.
Kumpulan itu turut melonjak 49 anak tangga dalam kedudukan keseluruhan 500 jenama paling bernilai di ASEAN, daripada tempat ke-231 pada 2025 kepada ke-182 tahun ini, sekali gus menempatkannya dalam kelompok 200 jenama paling bernilai di rantau berkenaan.
Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare, Datuk Dr Hanafiah Harunarashid berkata, pencapaian tersebut mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan kumpulan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti, selain memperkukuh kepakaran perubatan dan pembangunan tenaga profesional.
“Menerajui ASEAN dari segi kekuatan jenama penjagaan kesihatan merupakan satu pengiktirafan yang membanggakan kami, terutamanya bagi sebuah institusi penjagaan kesihatan Malaysia yang telah berkhidmat kepada pesakit merentasi generasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil pelancongan kesihatan meningkat 21%
Dalam perkembangan berkaitan, KPJ Healthcare mencatatkan peningkatan hasil pelancongan kesihatan sebanyak 21% bagi separuh pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, mencerminkan perkembangan perniagaan kumpulan dalam pasaran penjagaan kesihatan serantau.
KPJ turut menyasarkan penubuhan 15 Pusat Kecemerlangan menjelang 2030 dalam bidang termasuk jantung dan paru-paru, neurosains dan strok serta ortopedik dan reumatologi, selain merancang melancarkan Future Health Institute pada 2027 bagi memperluas penyelidikan serta penggunaan teknologi kesihatan digital.
Dalam usaha memperkukuh kepakaran perubatannya, KPJ Healthcare turut mencatatkan beberapa pencapaian klinikal termasuk pelaksanaan 35 pembedahan jantung invasif minimum berbantukan robot dalam tempoh 90 hari di Damansara Specialist Hospital 2, selain menjadi hospital pertama di Asia Tenggara memperkenalkan teknologi Supine High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU) bagi rawatan fibroid tanpa pembedahan.
Kumpulan itu juga memperkukuh kerjasama strategik dengan institusi perubatan antarabangsa termasuk Mayo Clinic, Singapore Health Services (SingHealth) dan Royal College of Surgeons of England dalam bidang penyelidikan klinikal, latihan profesional, kecerdasan buatan (AI) serta teknologi kesihatan digital bagi meningkatkan keupayaan rawatan dan perkhidmatan hospitalnya.
Ketika ini, KPJ Healthcare mengendalikan 29 hospital dan tiga pusat rawatan ambulatori di seluruh Malaysia, menerima lebih 3.3 juta pesakit setahun dengan sokongan 1,491 perunding perubatan, manakala kerjasama strategiknya dengan Mayo Clinic, SingHealth dan Royal College of Surgeons of England terus menyokong pembangunan kepakaran serta inovasi perubatan kumpulan. - DagangNews.com





