19 pelabur utama langgan 41.2% tawaran institusi IPO BIG Caring

LocalBusiness & Finance
10 Nov 2026 • 6:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

19 pelabur utama langgan 41.2% tawaran institusi IPO BIG Caring Image from: 19 pelabur utama langgan 41.2% tawaran institusi IPO BIG Caring sarah10/11/2026 - 18:32 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Nov - Sebanyak 19 pelabur utama (cornerstone investors) melanggan 41.2% daripada tawaran saham kepada pelabur institusi bagi tawaran awam permulaan (IPO) BIG Caring Group Bhd, menjelang penyenaraian syarikat rangkaian farmasi itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Menurut kenyataan Malaysian Issuing House Sdn Bhd hari ini, keseluruhan tawaran institusi yang melibatkan sehingga 1.61 bilion saham mendapat langganan penuh selepas mengambil kira peruntukan semula saham seperti yang diperuntukkan dalam prospektus syarikat bertarikh 29 Oktober 2026.

 

IPO BIG Caring melibatkan tawaran sehingga 1.88 bilion saham, merangkumi penjualan sehingga 1.29 bilion saham sedia ada dan terbitan 590.55 juta saham baharu, dengan harga akhir ditetapkan pada RM1.08 sesaham selepas proses penentuan harga bagi pelabur institusi selesai.

 

Harga tersebut menyamai harga tawaran awal kepada pelabur runcit, sekali gus bermakna pemohon yang berjaya tidak akan menerima pemulangan perbezaan harga saham.

 

Permohonan awam terlebih langgan 4.31 kali

Bagi tawaran kepada orang awam Malaysia, sebanyak 29,474 permohonan diterima untuk mendapatkan 783.75 juta saham berbanding 147.64 juta saham yang diperuntukkan, menjadikan kadar terlebih langgan keseluruhan sebanyak 4.31 kali.

 

Permintaan paling tinggi dicatatkan dalam kategori pelabur awam bukan Bumiputera apabila sebanyak 22,208 permohonan diterima bagi 640.90 juta saham, menghasilkan kadar terlebih langgan 7.68 kali, manakala kategori Bumiputera menerima 7,266 permohonan bagi 142.85 juta saham dengan kadar terlebih langgan 0.94 kali.

 

Tawaran kepada individu layak turut mendapat langganan penuh

Sementara itu, sebanyak 120 juta saham yang diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu layak lain turut mendapat langganan penuh selepas mengambil kira mekanisme peruntukan semula saham, manakala tawaran institusi diselaraskan oleh beberapa bank pelaburan termasuk Maybank Investment Bank, RHB Investment Bank, AmInvestment Bank dan UBS.

 

Malaysian Issuing House memaklumkan bahawa notis peruntukan saham akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya selewat-lewatnya pada 18 November 2026, dengan keputusan akhir tertakluk kepada pengesahan Bursa Malaysia serta sebarang penolakan permohonan yang berkaitan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved