Oppstar kembali untung selepas hampir dua tahun rugi disokong peningkatan hasil pasca-silikon

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2026 • 4:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Oppstar kembali untung selepas hampir dua tahun rugi disokong peningkatan hasil pasca-silikon Image from: Oppstar kembali untung selepas hampir dua tahun rugi disokong peningkatan hasil pasca-silikon hamden26/08/2026 - 16:15 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Oppstar Bhd kembali mencatatkan keuntungan bersih buat kali pertama dalam tempoh hampir dua tahun apabila lonjakan hasil daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengesahan pasca-silikon berjaya mengembalikan syarikat reka bentuk cip itu ke landasan positif.

 

Bagi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY2027) berakhir 30 Jun 2026, Oppstar mencatatkan keuntungan bersih RM4.09 juta berbanding kerugian bersih RM4.05 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan pula hampir dua kali ganda tahun ke tahun kepada RM15.86 juta, didorong peningkatan sumbangan daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengesahan pasca-silikon.

 

Pemulihan itu menandakan perubahan ketara buat Oppstar yang berada dalam kedudukan rugi sejak 1QFY2025, susulan kelembapan projek yang menjejaskan hasil ketika kos tetap, khususnya tenaga kerja kejuruteraan, kekal tinggi.

 

Prospek Lebih Cerah

Syarikat itu berkata, prospek bagi tahun kewangan semasa dijangka lebih cerah berbanding tahun sebelumnya, disokong peningkatan permintaan terhadap cip kecerdasan buatan (AI) yang terus memperluaskan saluran projeknya.

 

Namun, Oppstar mengakui kekurangan tenaga kejuruteraan mahir di seluruh industri kekal sebagai cabaran utama yang boleh memberi tekanan terhadap kos dan margin keuntungan.

 

“Persaingan untuk mendapatkan tenaga kerja reka bentuk yang berpengalaman semakin sengit dan keadaan ini dijangka memberi tekanan ke atas kos kakitangan kumpulan serta mengekalkan margin pada paras ketat dalam tempoh terdekat,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Dalam pada itu, Oppstar merancang untuk bergerak secara berperingkat ke rantaian nilai yang lebih tinggi dengan mengubah model perniagaannya daripada yang sebahagian besarnya berasaskan perkhidmatan kepada peranan yang lebih bersepadu dalam ekosistem AI.

 

Strategi itu akan dilaksanakan menerusi penglibatan dalam projek reka bentuk bernilai tinggi, termasuk projek reka bentuk secara siap sepenuhnya atau *turnkey*, selain kerjasama terpilih dalam pembangunan perkakasan AI.

 

Syarikat itu menyasarkan peluang dalam seni bina AI seperti pemecut dan unit pemprosesan neural yang berpotensi membuka saluran pertumbuhan baharu kepada kumpulan.

 

Dengan permintaan terhadap cip AI yang semakin meningkat, langkah Oppstar untuk memperkukuh keupayaan reka bentuk bernilai tinggi dan mengembangkan penglibatan dalam pembangunan perkakasan dilihat sebagai usaha strategik bagi mengurangkan kebergantungan kepada model perniagaan berasaskan perkhidmatan semata-mata.

 

Tiada dividen diisytiharkan bagi suku tersebut.

 

Penerima Akses Arm

Oppstar menerusi anak syarikat milik penuhnya, Oppstar Technology Sdn Bhd baru-baru ini diumumkan sebagai penerima akses kepada teknologi pengkomputeran Arm.

 

Kementerian Ekonomi berkata, syarikat itu menerima surat tawaran bagi memperoleh akses kepada Arm Compute Subsystem (CSS) dan program Arm Flexible Access (AFA) menerusi kerjasama strategik antara kerajaan Malaysia dan Arm Limited.

 

Akses tersebut membolehkan syarikat tempatan mempercepat aktiviti reka bentuk litar bersepadu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia, termasuk dalam bidang dron dan mikroelektronik termaju. - DagangNews.com

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved