
LONDON: Harry Kane kini menjadi sasaran baharu Al-Hilal, namun Bayern Munich sedang menawarkan terma baharu kepada penyerang England itu.
Juara Sepanyol, Barcelona menunjukkan minat serius terhadap Kane manakala dua kelab Itali, Inter Milan dan AC Milan turut menunjukkan minat.
Pegawai kelab Arab Saudi itu sudah bertemu wakil Kane, namun perpindahan ke Timur Tengah dianggap sukar untuk berlaku pada musim panas ini.
Kane menjaringkan sebanyak 73 gol untuk kelab dan negara musim lalu serta menjadi pilihan untuk memenangi anugerah Ballon d’Or tahun ini.
Bekas pemain Tottenham itu selesa di Munich dan kelab Jerman berkenaan yakin dapat mencapai persetujuan mengenai kontrak baharu.
Kane antara pemain yang menerima pendapatan tertinggi di Bayern bersama Jamal Musiala, dengan masing-masing menerima sekitar RM118 juta setahun.
Kontraknya tamat pada penghujung musim ini dan terma baharu yang ditawarkan dijangka merangkumi lanjutan selama dua tahun.
Kane sudah memenangi dua gelaran Bundesliga, satu Piala Jerman dan muncul penjaring terbanyak saingan divisyen utama negara itu dalam tiga musim terakhir.
Bagaimanapun, pasukan kendalian Vincent Kompany sekali lagi gagal mencapai kejayaan dalam Liga Juara-Juara musim lalu selepas tewas kepada Paris Saint-Germain di separuh akhir.
Al Hilal yang dikendalikan bekas jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi sudah mendapatkan Crysensio Summerville dari West Ham dengan nilai RM329 juta.
Mereka memiliki skuad bintang yang turut dibarisi Ruben Neves, Darwin Nunez, Theo Hernandez dan Karim Benzema.
Selain itu, Al Hilal melancarkan tawaran 38.5 juta pound sterling (RM211 juta) untuk penyerang Aston Villa, Oliver Watkins ketika mereka memburu penyerang berprofil tinggi baharu pada musim panas.
Kelab dari Timur Tengah itu sebelum ini berminat mendapatkan pemain sayap Chelsea, Pedro Neto, namun kini memberi tumpuan serius untuk mendapatkan Watkins.
Penyerang England berusia 30 tahun itu dikaitkan dengan kemungkinan meninggalkan Villa Park sejak beberapa musim lalu. – AGENSI/UTUSAN
The post Al-Hilal cuba ‘pancing’ Harry Kane appeared first on Utusan Malaysia.






