
MANCHESTER: Manchester United mengadakan perbincangan awal dengan penjaga gol Paraguay, Orlando Gill, ketika kelab itu giat memperkukuhkan benteng terakhir mereka menjelang musim baharu.
Menurut ejen pemain berusia 25 tahun itu, Mario Jara, pihaknya menerima minat daripada beberapa kelab di England dan Jerman, termasuk United yang dikatakan memantau rapat perkembangan Gill selepas aksi cemerlangnya bersama Paraguay di Piala Dunia 2026.
Gill mencuri perhatian ramai apabila mempamerkan prestasi luar biasa sepanjang kejohanan tersebut dengan melakukan banyak aksi menyelamat penting untuk membantu Paraguay bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik dunia.
Bagaimanapun, peluang penjaga gol San Lorenzo itu menyertai skuad kendalian Michael Carrick dilihat semakin tipis selepas United berjaya mendapatkan Karl Darlow secara percuma daripada Leeds United pada jendela perpindahan musim panas ini.
Darlow kini menyertai barisan penjaga gol yang turut dibarisi Senne Lammens dan Andre Onana, walaupun masa depan Altay Bayindir serta Radek Vitek di Old Trafford masih belum diputuskan.
Jara mengesahkan rundingan dengan beberapa kelab Eropah sedang berjalan dan perpindahan Gill dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan lain, Lammens kembali menyertai latihan di Carrington selepas tamat cuti Piala Dunia, sementara Vitek diberi peluang beraksi dalam aksi persahabatan menentang Wrexham dan Rosenborg.
Selepas aksi menentang Wrexham, Vitek mengakui dia bersedia mencari cabaran baharu demi mendapatkan lebih banyak minit permainan sebagai penjaga gol utama.
“Saya berasa sangat baik dan bersedia untuk memulakan cabaran baharu di mana saya boleh menjadi penjaga gol nombor satu.
“Buat masa ini saya masih di sini, tetapi kita akan lihat apa yang akan berlaku. Saya berharap ada minat daripada kelab lain dan saya bersedia untuk apa sahaja keputusan yang bakal dibuat,” kata Vitek.-AGENSI
The post Man. United intai penjaga gol Paraguay appeared first on Utusan Malaysia.






