KUALA LUMPUR - Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kapit pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sekali gus menamatkan khidmat hampir 30 tahun sebagai Ahli Parlimen.
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu bagaimanapun berkata, keputusan berkenaan tidak bermakna beliau akan meninggalkan arena politik, sebaliknya mahu meneruskan perjuangan politik melalui platform berbeza.
Beliau berkata, antara kemungkinan yang dipertimbangkan ialah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu yang dicadangkan dalam kawasan Parlimen Kapit, dikenali sebagai Melekun, sekiranya ia diluluskan dan diwartakan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
“Saya agak tegas dengan keputusan untuk melepaskan kerusi Parlimen ini. Saya bukan bersara daripada politik, tetapi mungkin meneruskan perjuangan dengan cara lain, bukan sebagai Ahli Parlimen,” katanya kepada Berita Harian.
Alexander yang merupakan Ahli Parlimen Kapit selama lima penggal berkata, sudah tiba masanya beliau memberi peluang kepada generasi muda untuk mengambil alih peranan berkenaan.
“Hampir 30 tahun saya menjadi Ahli Parlimen. Saya pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti, termasuk sebagai timbalan menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dan kini Kementerian Kerja Raya.
“Saya fikir sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada generasi muda (di Parlimen),” katanya.
Cadangan Alexander untuk beralih ke peringkat negeri itu hadir ketika Sarawak bersiap menghadapi PRN akan datang.
Bagaimanapun, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini berkata, perkara berkaitan kemungkinan Alexander bertanding di kerusi DUN masih belum dibincangkan kepimpinan parti.
Alexander berkata, beliau sudah menyatakan hasrat untuk menjadi calon bagi kerusi DUN Melekun yang dicadangkan, tertakluk kepada pengesahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Ia perlu disahkan oleh SPR. Kita faham SPR akan menjalankan proses pameran awam dan mengumumkannya kemudian.
“Jika ada kerusi DUN baharu di kawasan Parlimen Kapit, saya sudah menyatakan hasrat untuk bertanding di situ,” katanya.
Beliau berkata, peralihan ke peringkat negeri akan membolehkannya memberi lebih tumpuan kepada pembangunan Sarawak, khususnya di Kapit, walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen. - Getaran, 12 Ogos 2026






