Aliff Mahu Aksi Penyatuan Gelaran Prajanchai Berlangsung Di Malaysia

10 Aug 2026 • 8:23 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Aliff Mahu Aksi Penyatuan Gelaran Prajanchai Berlangsung Di Malaysia

Aliff Mahu Aksi Penyatuan Gelaran Prajanchai Berlangsung Di Malaysia

PASIR MAS, 10 Ogos (Bernama) -- Juara dunia interim Muay Thai Strawweight ONE Championship, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib atau lebih dikenali sebagai Aliff Rakib, berharap aksi penyatuan gelaran menentang juara sebenar, Prajanchai PongSuphan PK, pada Oktober depan dapat diadakan di Malaysia.

Aliff, 22, berkata aksi di laman sendiri akan memberinya kelebihan menerusi sokongan padu penyokong tempatan, selain berpotensi memberikan tekanan kepada legenda Thailand itu.

Beliau turut berharap kerajaan dapat memberikan sokongan bagi merealisasikan pertarungan yang bakal menentukan juara dunia sebenar kategori berkenaan di Malaysia.

“Kalau boleh saya memang mahu perlawanan dengan Prajanchai dibuat di Malaysia. Saya percaya sokongan padu penyokong tempatan akan memberikan semangat kepada saya dan pada masa sama mungkin membuatkan dia (Prajanchai) berasa lebih gentar,” katanya kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran di rumah baharunya di Taman Sri Rantau, Rantau Panjang, di sini, hari ini.

“Sebelum ini walaupun perlawanan saya diadakan di Bangkok, ramai penyokong Malaysia sanggup datang memberikan sokongan. Apatah lagi kalau ia dibuat di Malaysia,” katanya.

Baca juga:

Aliff mencipta sejarah pada 24 Julai lepas selepas menumbangkan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, menerusi kemenangan kalah mati pada pusingan kelima di Stadium Lumpinee, Bangkok, sekali gus merangkul gelaran dunia interim serta menerima bonus kemenangan USD50,000 (kira-kira RM204,565).

Menurut ONE Championship, Aliff menamatkan pertarungan pada minit 1:09 pusingan kelima menerusi kombinasi pukulan dan tendangan ke kepala, sekali gus memperbaiki rekod profesionalnya kepada 63 kemenangan dan sembilan kekalahan.

Kemenangan itu membuka laluan buat Aliff berdepan Prajanchai dalam aksi penyatuan gelaran selepas juara Thailand itu sebelum ini diketepikan akibat kecederaan dan masih menunggu pelepasan perubatan untuk kembali bertanding.

Mengulas persiapan, Aliff berkata beliau akan meningkatkan intensiti latihan dan kembali ke Bangkok dalam tempoh dua atau tiga hari bagi membuat persiapan menghadapi Prajanchai.

“Saya tahu Prajanchai adalah juara yang sudah lama berada di tahap tertinggi, jadi saya perlu tingkatkan lagi latihan dan persiapan. Buat masa ini sokongan keluarga menjadi antara perkara paling penting untuk saya,” katanya.

Aliff turut menyasarkan untuk mempertahankan tali pinggang kejuaraan itu sekurang-kurangnya tiga tahun sekiranya berjaya menewaskan Prajanchai, selain berharap kejayaannya dapat mendorong lebih ramai anak muda menceburi sukan Muay Thai.


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved