
RANTAU PANJANG: Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, 22, atau lebih dikenali sebagai Aliff Rakib, bakal menamatkan zaman bujangnya dengan gadis Thailand dalam masa terdekat tahun ini.
Menariknya, petarung negara itu bukan sahaja menyediakan kediaman bernilai RM1 juta untuk kedua-dua ibu bapanya di Rantau Panjang, malah turut membeli sebuah rumah di Bangkok, Thailand.
Aliff Rakib tidak menolak kemungkinan rumah di Bangkok itu menjadi hadiah untuk bakal isteri yang dikenali sebagai Jo.
“Jika tiada apa-apa, saya akan mendiami rumah baharu di Thailand itu tahun depan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Kesyukuran di rumah baharunya di Taman Sri Rantau, di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapannya menghadapi petarung Muay Thai terkenal Thailand, Prajanchai P.K.Saenchai dalam pertarungan yang dijangka berlangsung Oktober ini, Aliff mengakui dia belum memulakan persiapan.
“Saya berehat dulu untuk seketika, dalam beberapa hari lagi saya akan membuat latihan lebih kuat daripada sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, bagi pertarungan Oktober itu, dia berharap ia dapat diadakan di Malaysia bagi memberikan tekanan dan menimbulkan rasa takut kepada pihak lawan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Aliff Rakib mencipta sejarah terbesar dalam karier profesionalnya apabila menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao dalam pertarungan utama ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand.
Aliff Rakib menewaskan Sam-A menerusi knockout (KO) pada pusingan kelima, sekali gus dinobatkan sebagai Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai.
Kejayaan itu cukup bermakna apabila atlet negara berkenaan berjaya menewaskan salah seorang nama paling disegani dalam arena Muay Thai dunia di gelanggang keramat sukan tempur Thailand.-UTUSAN
The post Jo pilihan Aliff Rakib, kahwin tahun ini appeared first on Utusan Malaysia.




