
Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, sekali lagi mencuri perhatian warganet apabila berkongsi sebuah video di Instagram memaparkan dirinya meraikan kakitangan dalam satu majlis makan malam di Kota Damansara, tiga hari lalu.
Menerusi video berdurasi dua minit itu, Aliff bersama isterinya, Datin aseru Shahida, dilihat menikmati hidangan stimbot bersama para pekerja dalam suasana santai dan mesra. Pelbagai jenis makanan termasuk makanan laut segar, daging, ayam serta sayur-sayuran dan pencuci mulut disajikan pada majlis tersebut.

Menurut Aliff, majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan usaha berterusan daripada seluruh kakitangan yang membantu menggerakkan empayar perniagaannya.
“Memang seronok bila tengok mereka semua gembira. Terima kasih juga kepada semua yang sentiasa menyokong perniagaan saya sehingga dapat saya berkongsi rezeki dengan semua pekerja,” katanya.
Tambahnya lagi, penganjuran aktiviti seperti ini juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan warga kerja syarikatnya.
Tindakan usahawan itu menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang memuji keprihatinannya terhadap kebajikan pekerja.
Untuk rekod, Aliff Syukri yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang, sebelum ini pernah berkongsi perjalanan hidupnya yang bermula secara kecil-kecilan sebelum berjaya membina empayar perniagaan tersendiri. Beliau sering menekankan nilai kerja keras dan kesyukuran sebagai asas kejayaannya hari ini.
Aliff Syukri kini turut muncul sebagai salah seorang personaliti dalam program realiti ‘Post Mortem Talk To My Manager’, yang menampilkan sisi berbeza dirinya sebagai usahawan dan figura hiburan.
Program itu menyaksikan beliau bergandingan dengan anak lelaki sulungnya Ammar Ayyan, yang kini berusia 17 tahun. - Getaran, 6 Oktober 2025



