“Allah Panjangkan Usia Suruh Tambah Amal, Bukan Kejar Dunia” – Ustaz Jafri Abu Bakar [Video]

LocalOpinion
11 Jul 2025 • 10:20 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kehidupan seseorang manusia penuh dengan rahsia yang hanya diketahui oleh Tuhan. Kita pasti tidak tahu apa yang akan diperoleh untuk pada masa hadapan, bahkan kita juga tidak pernah tahu bilakah nyawa akan terpisah daripada jasad.

Ada yang dikurniakan umur yang panjang dan ada pula yang singgah di dunia ini untuk seketika waktu sahaja, namun setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian.

Pun begitu, pernahkah anda berfikir sekiranya seseorang itu dikurniakan usia yang panjang adakah ia satu kebaikan atau ujian yang diberikan oleh Allah SWT.

Allah panjangkan usia satu kemuliaan, ada 2 kelebihan yang diberikan

Pendakwah bebas, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi menyatakan sekiranya Allah memanjangkan usia merupakan satu kemuliaan.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun Facebook Media AlFaizan, Ustaz Jafri berkata terdapat dua kelebihan jika kita dilanjutkan usia.

“Yang pertama, lebih masa untuk melakukan amal dan yang kedua, ‘extra’ waktu untuk bertaubat atas dosa,” katanya.

Allah panjangkan umur untuk tambah amal, bukan kejar dunia

Menurutnya, Allah SWT memanjangkan usia seseorang agar hambaNya itu menambah amalan di dunia ini yang selama ini pernah disia-siakan sewaktu usia muda.

Jelas Ustaz Jafri, umur yang dipanjangkan juga merupakan peluang buat seseorang itu memohon keampunan kepada Allah atas segala dosa-dosa silam.

“Cukup-cukuplah, sudah sampai umur 60 tak usah bincang bab bola lagi dah. Cuba susun (jadual), pagi ini nak buat amal apa, tengah hari ini nak buat amal apa, malam ini nak buat amal apa,” katanya lagi.

Peluang banyakkan ibadah jika susah tidur dan senang terjaga

Menurutnya lagi, berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh rakan-rakannya, apabila telah mencapai usia tua, seseorang itu akan mengalami masalah seperti susah untuk tidur pada waktu malam dan mudah terjaga.

Beliau berkata, peluang itu seharusnya digunakan untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT setelah di usia muda dahulu mudah tertidur dan lewat bangun sehingga ada yang pernah terlajak mengerjakan solat Subuh.

Ustaz Jafri berkata demikian dalam satu sesi ceramahnya dipercayai di sebuah masjid pada 2022 dahulu.