Muamalat Invest lancar dana pelaburan patuh syariah baharu, Muamalat-i Gold

16/04/2025 - 16:38
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 16 April – Dalam usaha memperluas akses kepada pelaburan patuh syariah yang beretika dan mampan, Muamalat Invest Sdn Bhd (MISB), anak syarikat milik penuh Bank Muamalat Malaysia Berhad, telah melancarkan dana pelaburan terbaharu yang diberi nama Dana Muamalat-i Gold (MiGOLD).
MiGOLD merupakan sebuah dana borong berstruktur yang membolehkan pelabur melabur dalam emas sambil mematuhi prinsip-prinsip syariah.
Langkah itu menjadikan MiGOLD sebagai antara tawaran pelaburan emas patuh syariah yang paling inovatif di pasaran.
MiGOLD direka untuk menawarkan saluran pelaburan yang beretika dan stabil, memanfaatkan prestasi emas yang konsisten sebagai asset lindung nilai terutamanya dalam keadaan ekonomi tidak menentu.
Dana itu akan melabur dalam Dana Dagangan Bursa (ETF) dan Skim Pelaburan Kolektif (CIS) yang berfokuskan emas, membolehkan fleksibiliti dari aspek penyimpanan, dan kecairan emas.
Berbeza daripada pelaburan emas tradisional, MiGOLD turut mengintegrasikan pendedahan kepada ekuiti patuh syariah yang tersenarai di Bursa Malaysia serta sekuriti pendapatan tetap daripada syarikat yang beroperasi dalam sektor emas dan logam berharga.
Pendekatan itu membolehkan pelabur menikmati kepelbagaian portfolio untuk pertumbuhan mampan jangka panjang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pelancaran MiGOLD mencerminkan komitmen berterusan bank dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang bukan sahaja patuh syariah, malah memenuhi keperluan pelabur moden.
"MiGOLD melambangkan usaha kami untuk menawarkan peluang pelaburan yang beretika, telus, dan berteraskan nilai.
"Ini bukan sekadar pelaburan dalam emas, malah mencerminkan misi kami untuk membina kehidupan lebih baik, bersama-sama melalui kestabilan kewangan dan pertumbuhan mampan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yakin, MiGOLD mampu memenuhi permintaan pasaran terhadap produk pelaburan Islamik yang mampu menawarkan pertumbuhan kukuh dalam jangka panjang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Muamalat Invest, Khadijah Sairah Ibrahim berkata, MiGOLD bukan sahaja memberi peluang kepada pelabur untuk memanfaatkan pertumbuhan harga emas, malah bertindak sebagai perlindungan daripada inflasi dan turun naik pasaran.
"Emas kekal sebagai aset pelaburan yang tahan lasak dan telah terbukti mampu mengekalkan nilainya ketika ketidaktentuan ekonomi. Dengan MiGOLD, pelabur berpeluang untuk memperoleh pulangan kompetitif sambil kekal sejajar dengan nilai syariah mereka," katanya.
MiGOLD turut selari dengan visi MISB untuk memperkasakan pelabur menerusi rumusan pelaburan etika, berpandangan jauh, dan progresif yang menjembatani nilai tradisional Islam dengan kehendak pelabur moden.- DagangNews.com
standard
