Pemaju hartanah Johor, Faire Bhd rancang IPO di Pasaran ACE untuk biayai projek baharu

30 Sep 2026 • 9:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemaju hartanah Johor, Faire Bhd rancang IPO di Pasaran ACE untuk biayai projek baharu Image from: Pemaju hartanah Johor, Faire Bhd rancang IPO di Pasaran ACE untuk biayai projek baharu liza30/09/2026 - 09:08 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Sept – Pemaju hartanah berpangkalan di Johor, Faire Bhd merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mendapatkan dana untuk mengembangkan perniagaannya, termasuk memasuki sektor hartanah industri.

 

Menurut prospektus drafnya, Faire mahu mengukuhkan kehadirannya di Johor dengan menambah portfolio projek serta meluaskan tumpuan kepada pembangunan hartanah industri.

 

Ketika ini, portfolio syarikat merangkumi rumah teres, rumah kluster, rumah berkembar  selain unit kedai serta rumah kedai. Faire turut membangunkan rumah mampu milik sebagai sebahagian daripada projek kediamannya.

 

Kumpulan itu diasaskan pada 1973 menerusi Sin Soon Lee Realty Co (M) Sdn Bhd (SSL) di Batu Pahat oleh Datuk Lim Kim Chong, bapa kepada Pengarah Urusan Faire, Lim Tiong Heng bersama mendiang Lim Sing atau Lim Boon Hong yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan keluarga berkenaan.

 

Sejak ditubuhkan, Faire memberi tumpuan kepada pembangunan hartanah kediaman dan komersial bertanah di Batu Pahat serta Johor Bahru. Ketika ini, kumpulan itu mempunyai satu projek yang sedang dibangunkan, iaitu pembangunan kediaman bée Fasa 1 dan 2 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM595.45 juta yang dijangka siap pada Jun 2028.

 

Tambah projek dan masuk sektor industri

Faire mempunyai jumlah bank tanah kira-kira 27.41 hektar (67.72 ekar) merangkumi sembilan bidang tanah. Kumpulan itu turut memulakan perancangan pembangunan bagi projek bercampur bertingkat tinggi di tanah miliknya di Mukim Tebrau yang akan dilaksanakan dalam dua fasa.

 

Fasa pertama projek berkenaan dijangka bermula pada separuh kedua 2027 manakala fasa kedua dijadualkan bermula pada separuh kedua 2029.

 

Di bawah tawaran awam permulaan (IPO), Faire bercadang menerbitkan 190 juta saham baharu, bersamaan 27.43% daripada jumlah saham selain menawarkan untuk jualan 11 juta saham sedia ada yang keseluruhannya akan diterima oleh Tiong Heng.

 

Pegangan Tiong Heng sebanyak 50.85% dijangka berkurangan kepada 35.52% selepas penyenaraian yang dicadangkan itu berikutan penerbitan saham baharu.

 

Dana daripada IPO akan digunakan untuk membiayai pembangunan hartanah pada masa hadapan, termasuk projek hartanah industri pertama kumpulan selain sebahagian lagi diperuntukkan untuk modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.

 

Dua projek baharu dikenal pasti

Faire berkata, pihaknya telah mengenal pasti dua pembangunan masa hadapan yang akan dibiayai iaitu projek bée Fasa 4 di Johor Bahru dan projek di Subang, Selangor, yang kedua-duanya dijangka bermula pada Disember 2026.

 

Projek bée Fasa 4 merupakan pembangunan komersial pegangan bebas di Mukim Pulai, Johor Bahru di atas tanah seluas 1.38 hektar (3.42 ekar). Ia akan merangkumi 16 unit pejabat kedai tiga tingkat dan empat unit pejabat kedai empat tingkat.

 

Sementara itu, projek Subang merupakan pembangunan hartanah industri pegangan pajakan di atas tanah seluas 1.77 hektar (4.38 ekar) yang akan merangkumi 10 unit kilang berkembar tiga tingkat.

 

Faire berkata, dana yang diperuntukkan bagi kedua-dua projek itu akan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan termasuk bayaran kepada kontraktor utama, yuran profesional dan kos berkaitan projek lain.

 

Sebarang kos pembangunan yang tidak diliputi hasil IPO akan dibiayai melalui gabungan pinjaman bank dan dana yang dijana secara dalaman.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), Faire merekodkan keuntungan bersih RM12.23 juta daripada hasil RM140.56 juta dengan margin keuntungan kasar sebanyak 27.1%.

 

Kumpulan itu diterajui oleh Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Woon Wu Chiat, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Jonathan Ross serta Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Strategi Tee Ee Kang, manakala Dr Tang Lai Huat merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif. 

 

Harga IPO dan anggaran permodalan pasaran Faire masih belum dimuktamadkan. TA Securities Holdings Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved