Amanat Lebuhraya Rakyat bayar sukuk RM2.15 bilion, sasar serah lebuh raya lima tahun lebih awal

LocalBusiness & Finance
21 Oct 2026 • 3:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Amanat Lebuhraya Rakyat bayar sukuk RM2.15 bilion, sasar serah lebuh raya lima tahun lebih awal Image from: Amanat Lebuhraya Rakyat bayar sukuk RM2.15 bilion, sasar serah lebuh raya lima tahun lebih awal hamden21/10/2026 - 15:11 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt - Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) telah membuat pembayaran prinsipal dan keuntungan sukuk terkumpul melebihi RM2.149 bilion, sekali gus membuka laluan untuk menyerahkan semula empat lebuh raya utama di Lembah Klang kepada kerajaan pada 2033, lima tahun lebih awal daripada jadual asal.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR, Muhammad Nizam Alias berkata, pencapaian itu mencerminkan disiplin kewangan kumpulan dalam melunaskan hutang pengambilalihan menerusi lebihan kutipan tol tanpa mengagihkan dividen kepada pemegang saham.

 

Pada 13 Oktober 2026, ALR membuat pembayaran sukuk kelapan berjumlah RM513.8 juta, merangkumi RM390 juta bagi prinsipal sukuk dan RM123.8 juta bagi keuntungan sukuk, sekali gus menjadikan jumlah pembayaran terkumpul prinsipal dan keuntungan sukuk melebihi RM2.149 bilion.

 

Muhammad Nizam berkata, Program Sukuk Murabahah Kemampanan ALR mempunyai jumlah obligasi prinsipal dan keuntungan sukuk sebanyak RM7.935 bilion.

 

“Pencapaian melebihi RM2 bilion dalam pembayaran sukuk terkumpul merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan ALR.

 

“Ia mencerminkan disiplin kewangan berterusan serta komitmen kami untuk memenuhi obligasi, di samping memastikan kadar tol kekal mampu bayar, menghapuskan keperluan pembayaran pampasan oleh kerajaan dan mempercepatkan penyerahan semula lebuh raya kepada kerajaan serta rakyat,” katanya pada taklimat media di ibu pejabat Terowong SMART di sini.

 

Pada April 2025, jumlah pembayaran sukuk terkumpul ALR mencecah RM1.021 bilion.

 

ALR menerbitkan Sukuk Murabahah Kanan Mampan dan Pelaburan Bertanggungjawab Sosial bertaraf AAA bernilai nominal RM5.5 bilion pada 13 Oktober 2022 bagi membiayai pengambilalihan empat syarikat konsesi lebuh raya bandar utama, iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LITRAK), Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART).

 

Pengambilalihan tanpa guna dana awam

Menurut Muhammad Nizam, pengambilalihan itu dilaksanakan tanpa menggunakan dana awam atau jaminan kerajaan.

 

Beliau berkata, ALR ditubuhkan sebagai entiti pemegang amanah peralihan yang menyalurkan semua pendapatan bersih operasi kepada pembayaran liabiliti dan pengurusan aset harian, tanpa pengagihan dividen kepada pemegang saham.

 

Di bawah model berkenaan, kadar tol dikekalkan pada paras sedia ada yang diwartakan sehingga tempoh konsesi masing-masing berakhir, manakala lebihan hasil digunakan untuk penebusan awal pembiayaan hutang.

 

Program sukuk itu mempunyai tempoh matang paling panjang selama 15 tahun, iaitu sehingga 2038.

 

Bagaimanapun, berdasarkan unjuran ALR, lebihan yang terkumpul setiap tahun berpotensi mencukupi menjelang 2033 untuk melunaskan baki obligasi sukuk secara sekali gus.

 

“Lebih awal kami menyelesaikan keseluruhan jumlah sukuk, lebih awal lebuh raya dapat diserahkan semula kepada kerajaan.

 

“Kerajaan kemudiannya boleh menentukan hala tuju lebuh raya berkenaan, sama ada mengenakan kadar tol nominal atau menjadikannya lebuh raya tanpa tol,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved