hamden09/10/2026 - 09:25 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt - MISC Bhd dijangka meraih tambahan hasil sekurang-kurangnya RM600 juta setahun menerusi kontrak penyewaan jangka panjang lima kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) baharu selama 20 tahun dengan Petronas LNG Ltd (PLNG), yang dijadualkan bermula pada 2030.
MBSB Research berkata, kontrak berkenaan akan meningkatkan keterlihatan pendapatan jangka panjang bahagian Aset Gas dan Penyelesaian (GAS) MISC, dengan aliran tunai yang stabil dan boleh diramal bermula 2030.
Bagaimanapun, perkembangan itu dijangka tidak memberi kesan material terhadap prestasi kewangan kumpulan dalam tempoh terdekat, memandangkan kapal berkenaan hanya dijangka siap pada 2030.
"Pperbelanjaan modal bagi pembinaan kapal akan dikeluarkan secara berperingkat antara 2027 hingga 2030.
Penyewaan terus kepada PLNG turut mengurangkan risiko kegagalan pembayaran, sekali gus membolehkan MISC mendapatkan pembiayaan hutang berkos rendah yang kompetitif bagi membiayai pembinaan kapal berkenaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
MISC menerima Surat Anugerah (LOA) daripada PLNG bagi penyewaan lima kapal LNG baharu itu, yang akan dibina oleh syarikat pembinaan kapal China, Hudong-Zhonghua Shipbuilding (Group) Co. Ltd.
Unjuran pendapatan
Menurut MBSB Research, dari segi potensi pendapatan, kontrak penyewaan jangka panjang bagi kapal LNG moden dwi-bahan api lazimnya menawarkan kadar sewaan sekitar AS$80,000 hingga AS$100,000 sehari, bersamaan kira-kira RM325,000 hingga RM405,000 sehari.
Kadar berkenaan bergantung pada kos pembiayaan, klausa pelarasan kadar dan tempoh kontrak.
Berdasarkan anggaran firma penyelidikan, tambahan lima kapal itu boleh meningkatkan hasil MISC sekurang-kurangnya RM600 juta setahun, manakala margin keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) bahagian GAS berpotensi berkembang sebanyak dua hingga tiga mata peratusan.
Bagaimanapun, jumlah perbelanjaan modal bagi pembinaan kelima-lima kapal itu dianggarkan antara RM5 bilion hingga RM6 bilion, berdasarkan kos pembinaan purata AS$240 juta hingga AS$260 juta bagi setiap kapal.
Firma penyelidikan itu menjangkakan pendapatan bersih MISC dalam lima tahun pertama operasi kapal berkenaan, dari 2030 hingga 2035, mungkin terkekang oleh pembayaran balik hutang dan perbelanjaan faedah yang tinggi pada peringkat awal.
Namun, pendapatan dijangka meningkat dengan ketara selepas 2035 apabila pembayaran balik prinsipal hutang berkurangan.
Risiko tetap ada
Dalam perkembangan berkaitan, penggunaan sistem pendorongan moden dwi-bahan api bagi menggantikan enjin turbin stim lama dijangka membantu MISC mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan menyokong sasaran pelepasan Skop 1 kumpulan.
Langkah itu juga berpotensi mengurangkan pendedahan MISC kepada tekanan peraturan alam sekitar yang semakin ketat, termasuk sasaran intensiti karbon Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), selain meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api dalam jangka panjang.
Walaupun kontrak penyewaan jangka panjang pada kadar tetap menawarkan kestabilan pendapatan, MISC berdepan risiko kehilangan peluang untuk menikmati kenaikan kadar sewaan pasaran spot sekiranya permintaan LNG global melonjak secara tidak dijangka.
Risiko pelaksanaan turut melibatkan kemungkinan kelewatan pembinaan akibat lonjakan harga keluli, masalah teknikal atau kekangan bekalan tenaga kerja di limbungan kapal HZ.
Selain itu, inflasi kos jentera, teknologi dan bahan binaan boleh menjejaskan margin keuntungan sekiranya harga kontrak pembinaan tidak ditetapkan secara ketat.
Memandangkan urus niaga itu merupakan urus niaga pihak berkaitan (RPT), MISC juga perlu memastikan kadar sewaan yang dipersetujui dengan PLNG mencerminkan kadar komersial pasaran sebenar.
Sementara itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan BELI terhadap MISC dengan harga sasaran RM9.22 sesaham, tanpa perubahan kepada anggaran pendapatan ketika ini memandangkan projek itu hanya dijangka siap pada 2030. - DagangNews.com






