
PETALING JAYA: AMMB Holdings Bhd (AmBank) mencatatkan untung bersih RM520.23 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2026, meningkat 0.8 peratus berbanding RM516.18 juta dalam tempoh sama tahun lalu, didorong pertumbuhan pendapatan faedah bersih.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, pendapatan sesaham kumpulan perbankan itu turut meningkat sedikit kepada 15.73 sen berbanding 15.64 sen setahun sebelumnya.
AmBank, kumpulan perbankan keenam terbesar negara berdasarkan aset, tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku berkenaan.
Pendapatan bersih meningkat 2.8 peratus kepada RM1.33 bilion daripada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan faedah bersih meningkat 4.3 peratus tahun ke tahun kepada RM644.3 juta.
Sementara itu, caj kemerosotan nilai bersih susut 3.6 peratus kepada RM69.8 juta, disokong pembalikan peruntukan tambahan yang lebih tinggi dalam segmen perbankan runcit.
Bagaimanapun, penurunan itu sebahagiannya diimbangi peruntukan tambahan sebanyak RM52.5 juta bagi pendedahan yang dianggap terdedah kepada ketegangan geopolitik berterusan.
Ia turut mengambil kira peruntukan lebih tinggi dalam perbankan borong serta pemulihan yang lebih rendah.
Setakat 30 Jun 2026, jumlah kasar pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan AMMB meningkat 0.78 peratus kepada RM147.83 bilion daripada RM146.69 bilion setahun sebelumnya.
Pertumbuhan pinjaman itu adalah secara meluas merangkumi segmen perbankan borong, perbankan perniagaan dan perbankan runcit.
Bagaimanapun, jumlah deposit pelanggan susut hampir dua peratus kepada RM144.1 bilion daripada RM147 bilion setahun sebelumnya, walaupun deposit berjangka meningkat 2.4 peratus.
Nisbah modal ekuiti biasa Tahap 1 (CET1), yang menjadi ukuran kekuatan modal teras bank, kekal pada paras kukuh 14.82 peratus pada akhir Jun 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif AMMB, Jamie Ling berkata, konflik di Asia Barat yang masih belum diselesaikan terus menjadi sumber ketidaktentuan kepada ekonomi global.
“Bagaimanapun, kami memberi tumpuan untuk melaksanakan perancangan kami bagi suku-suku akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas prospek, beliau berkata, AMMB menjangkakan kitaran peningkatan yang dipacu kecerdasan buatan (AI) berpotensi menyokong permintaan pinjaman perniagaan, khususnya dalam kalangan syarikat domestik dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam rantaian bekalan elektrik dan elektronik (E&E).
“Keadaan berkenaan dijangka meningkatkan keperluan modal kerja serta pembiayaan perdagangan.
“Bagaimanapun, AMMB menyifatkan ketegangan geopolitik yang berlarutan di Asia Barat sebagai risiko penurunan utama terhadap prospek perniagaan,” katanya.
Menurutnya, gangguan berpotensi terhadap rantaian bekalan dan logistik boleh memberi tekanan kepada margin perniagaan, terutama dalam kalangan PKS serta sektor yang banyak bergantung kepada bahan api.
“Tumpuan kukuhnya terhadap pasaran domestik membantu mengurangkan kesan cabaran luaran, manakala kumpulan itu terus membuat peruntukan tambahan secara berhemat bagi akaun yang berpotensi terjejas akibat ketegangan geopolitik,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, saham AMMB susut satu sen atau 0.14 peratus kepada RM7.19 pada rehat tengah hari dagangan Selasa, memberikan nilai pasaran RM23.8 bilion.
Bagaimanapun, saham berkenaan telah meningkat hampir 32 peratus dalam tempoh 12 bulan lalu. –UTUSAN
The post AmBank catat untung bersih RM520.23 juta appeared first on Utusan Malaysia.





