
PETALING JAYA: Hextar Global Berhad (Hextar) melaporkan untung bersih sebanyak RM15.12 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, berbanding RM15.94 juta yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan mencatatkan pendapatan sebanyak RM199.1 juta pada suku tinjauan, meningkat 12.1 peratus daripada RM177.5 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, disokong oleh segmen pertanian yang mencatatkan pendapatan sebanyak RM109.7 juta, peningkatan sebanyak RM22.6 juta.
Momentum positif ini disokong lagi oleh peningkatan pendapatan sebanyak RM6.5 juta daripada segmen buah-buahan, sebahagiannya diimbangi oleh penurunan RM7.6 juta dalam segmen bahan kimia khusus.
Sumbangan yang lebih rendah daripada segmen buah-buahan telah diimbangi dengan ketara oleh sumbangan yang lebih baik daripada segmen pertanian dan bahan kimia khusus, yang masing-masing meningkat sebanyak RM2.6 juta dan RM2.9 juta.
Bagi tempoh enam bulan pertama, kumpulan mencatatkan untung bersih sebanyak RM29.39 juta berbanding RM29.44 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan sebanyak RM395.3 juta daripada RM416.1 juta.
Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat dikekalkan pada RM29.4 juta untuk enam bulan pertama, berbanding RM29.4 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, menunjukkan daya tahan perniagaan teras Kumpulan.
Sepanjang suku tersebut, Hextar telah menyelesaikan pengagihan dividen saham interim berdasarkan dua saham perbendaharaan bagi setiap 100 saham biasa sedia ada, dengan 77.0 juta saham perbendaharaan diagihkan kepada pemegang saham yang berhak pada 30 Jun 2026.
Pengarah Urusan Kumpulan Hextar, Lee Chooi Keng berkata, kumpulan menunjukkan prestasi yang berdaya tahan pada suku kedua, disokong oleh kekuatan berterusan perniagaan pertanian dan sumbangan suku tahunan yang lebih baik daripada Specialty Chemicals.
“Walaupun segmen tertentu terus menghadapi cabaran pasaran dan bermusim, kepelbagaian portfolio perniagaan kami telah membolehkan kami mengekalkan tahap keuntungan yang stabil.
“Melangkah ke hadapan, kami kekal fokus pada kecekapan operasi, pengurusan kos yang berdisiplin dan pengurusan modal kerja yang berhemat di seluruh kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, beliau berkata, syarikat terus memperkukuh perniagaan terasdan mengejar peluang yang melengkapi keupayaan sedia ada dengan tujuan untuk memberikan nilai jangka panjang yang mampan kepada para pemegang saham.
“Melihat ke hadapan, kumpulan kekal optimis dengan berhati-hati terhadap prospeknya, disokong oleh permintaan yang berdaya tahan merentasi segmen perniagaan terasnya dan inisiatif berterusan untuk meningkatkan kecekapan operasi.
“Segmen pertanian dijangka kekal disokong oleh permintaan yang berterusan untuk input pertanian, sementara kumpulan terus fokus pada inovasi produk, kecekapan operasi dan penyelesaian yang mampan,” jelasnya. – UTUSAN
The post Hextar catat untung bersih RM15.12 juta pada suku kedua 2026 appeared first on Utusan Malaysia.






