MMCS catat untung bersih terlaras RM3.21 juta

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2026 • 2:09 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MMCS catat untung bersih terlaras RM3.21 juta

Image from: MMCS catat untung bersih terlaras RM3.21 juta

PETALING JAYA: MM Computer Systems Berhad (MMCS) mencatatkan keuntungan bersih terlaras sebanyak RM3.21 juta daripada hasil RM25.98 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MMCS, Macken Young Yoong Chang berkata, syarikat terus aktif mendapatkan projek dan kontrak baharu daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perusahaan serta syarikat korporat.

Ujarnya, setakat 30 Jun 2026, MMCS mempunyai buku pesanan bernilai RM101.69 juta membabitkan 112 projek yang sedang dilaksanakan.

“Kami menyasarkan pertumbuhan berterusan dan untuk terus mencatatkan prestasi lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Visi kami adalah untuk menjadi penyedia penyelesaian IT yang dipercayai dan terkemuka bagi GLC serta syarikat korporat di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Selepas mengambil kira perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja dan tidak berulang sebanyak RM2.89 juta, keuntungan bersih MMCS bagi suku berkenaan adalah RM320,000.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 pula MMCS mencatatkan keuntungan bersih terlaras sebanyak RM6.26 juta daripada hasil RM55.80 juta.

Selepas mengambil kira perbelanjaan penyenaraian berkenaan, keuntungan bersih bagi tempoh itu adalah RM3.35 juta.

Tiada angka perbandingan bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan MMCS hanya disenaraikan pada 11 Jun 2026.

Mengulas lanjut, beliau berkata, prestasi bagi suku kedua 2026 disokong terutamanya oleh projek baharu yang diperoleh serta projek sedia ada daripada GLC, perusahaan dan syarikat korporat.

“Segmen reka bentuk, pelaksanaan dan konfigurasi penyelesaian IT serta perkhidmatan penyumberan luar IT menjadi penyumbang terbesar kepada hasil Kumpulan, dengan sumbangan 75.56 peratus.

“Kedua-dua segmen itu mencatatkan keuntungan kasar agregat sebanyak RM5.15 juta, mewakili 87.4 peratus daripada jumlah keuntungan kasar Kumpulan sebanyak RM5.89 juta.

“Sementara itu, jualan perkakasan dan perisian IT menyumbang 22.75 peratus kepada hasil, manakala aktiviti penyewaan perkakasan dan perisian IT menyumbang 1.69 peratus,” katanya.

Dalam prospektus yang diterbitkan sebelum tawaran awam permulaan (IPO), MMCS mencatatkan keuntungan bersih RM10.1 juta daripada hasil RM98.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Berdasarkan prestasi enam bulan pertama 2026, keuntungan bersih terlaras sebanyak RM6.26 juta dan hasil RM55.80 juta masing-masing sudah melebihi 50 peratus daripada keuntungan bersih dan hasil penuh tahun kewangan 2025. – UTUSAN

The post MMCS catat untung bersih terlaras RM3.21 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved