
KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd (AmBank) memantau rapat peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan susulan gangguan berpanjangan di Asia Barat yang boleh meningkatkan tekanan terhadap perniagaan akibat kenaikan kos input dan tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling berkata, sebahagian peminjam terjejas akibat gangguan penghantaran, khususnya pengeksport ke Asia, namun kesan langsung terhadap peminjam yang mempunyai pendedahan kepada pasaran Asia Barat masih terhad.
“Impak langsung terhadap peminjam kami dari segi akses pasaran ke Asia Barat adalah agak terhad dan tiada kemungkiran berlaku akibat situasi itu.
“Namun, kami melihat pengeksport ke Asia terjejas dan sebab itu kami memastikan mereka dipantau rapat serta bekerjasama dengan pelanggan memandangkan inventori mereka semakin meningkat akibat penghantaran yang tidak konsisten,” katanya semasa Sidang Media Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-35 AmBank sini, hari ini.
Beliau berkata, sebahagian peminjam yang terjejas telah dipindahkan daripada Tahap 1 kepada Tahap 2 dalam klasifikasi risiko kredit bank dan diletakkan dalam senarai pemantauan.
“Langkah ini membolehkan kami bekerjasama rapat dengan peminjam terbabit serta memberikan sokongan sekiranya diperlukan.
“PKS, khususnya dalam sektor pembinaan, boleh berdepan tekanan lebih besar susulan kenaikan kos tenaga dan bahan, terutama apabila kontrak pada harga tetap mengehadkan keupayaan mereka untuk memindahkan peningkatan kos kepada pelanggan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, permintaan pinjaman dijangka kekal kukuh dalam kalangan syarikat peringkat pertengahan dan PKS yang turut menawarkan pulangan menarik kepada kumpulan.
“AmBank kekal memberi tumpuan kepada segmen usahawan berikutan potensi pertumbuhan yang didorong oleh pengembangan perniagaan, proses perindustrian dan perkembangan sektor pembuatan Malaysia.
“Ini tidak bermakna syarikat korporat besar, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemain mapan dalam perbankan borong, tidak penting kerana mereka adalah sebahagian daripada ekosistem berkaitan.
“Mereka merupakan pembeli produk daripada rantaian bekalan PKS, manakala pengedar produk kepada pengguna juga lazimnya terdiri daripada PKS,” katanya. – UTUSAN
The post AmBank pantau risiko PKS susulan gangguan Asia Barat appeared first on Utusan Malaysia.






