
KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Berhad (AmBank) menyasarkan pertumbuhan pinjaman antara tujuh hingga lapan peratus bagi tahun kewangan 2027, disokong permintaan daripada segmen perniagaan yang terus melihat nilai dalam pembiayaan ditawarkan kumpulan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling berkata, pertumbuhan pinjaman kumpulan ketika ini mencapai kira-kira tujuh peratus dan dijangka terus berkembang pada separuh kedua tahun ini, bergantung kepada keadaan pasaran serta persekitaran persaingan.
“Kami sememangnya mempunyai sasaran lebih tinggi dan kini mencapai pertumbuhan tujuh peratus, disokong banyak perniagaan yang melihat nilai dalam pertumbuhan kami.
“Namun begitu, ia juga banyak bergantung kepada keadaan pasaran dan persekitaran persaingan,” katanya semasa Sidang Media Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-35 AmBank sini, semalam.
AmBank mencatatkan untung bersih RM520.23 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2026, meningkat 0.8 peratus berbanding RM516.18 juta dalam tempoh sama tahun lalu, didorong pertumbuhan pendapatan faedah bersih.
Pendapatan sesaham kumpulan perbankan itu turut meningkat sedikit kepada 15.73 sen berbanding 15.64 sen setahun sebelumnya.
Mengulas mengenai Margin Faedah Bersih (NIM) kumpulan, beliau berkata, ia dijangka kekal stabil sekitar 1.90 hingga 1.93 peratus tahun ini, meskipun berdepan tekanan susulan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan persaingan sengit dalam pasaran pinjaman.
Katanya, NIM kumpulan berada pada 1.98 peratus bagi tahun kewangan 2026, meningkat berbanding 1.93 peratus yang dicatatkan tahun lalu.
“Bagaimanapun, penurunan OPR serta persaingan mendapatkan aset berkualiti memberi tekanan kepada margin kumpulan pada suku pertama tahun kewangan semasa.
“Berdasarkan keputusan suku pertama, kami melihat NIM sekitar 1.90 hingga 1.93 peratus. Kami menjangkakan NIM akan kekal stabil dan akan terus berusaha untuk memperbaikinya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kesan penurunan OPR sebanyak 50 mata asas terhadap sekitar 80 peratus portfolio pinjaman berasaskan kadar asas menjadi antara faktor utama yang menekan NIM berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Persaingan mendapatkan aset turut memberi tekanan kepada margin apabila pemain industri terus bersaing menawarkan pinjaman.
“Bagaimanapun, kami memilih untuk tidak terlalu agresif dalam segmen gadai janji yang membantu menyokong margin.
“Pada masa sama, kami mengurangkan dana pinjaman dalam portfolio perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana profil risiko segmen itu kurang sesuai dengan kami, yang turut memberi kesan kepada margin dalam tempoh ini,” katanya.
Tambahnya, kumpulan kekal berhati-hati dalam mengembangkan pinjaman dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan aset yang mempunyai pulangan lebih baik, selain memperkukuh pengurusan liabiliti dan kos dana.
“Bagaimanapun, kami telah meningkatkan pegangan aset kewangan sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan dan belum melihat sepenuhnya potensi sumbangan pendapatan faedah daripada aset tersebut,” katanya. –UTUSAN
The post AmBank sasar pertumbuhan pinjaman hingga lapan peratus appeared first on Utusan Malaysia.






