
PETALING JAYA: DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) mencatatkan kenaikan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 20.2 peratus tahun ke tahun kepada RM148.12 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026.
Kumpulan berkata, prestasi kewangan yang lebih kukuh itu turut disokong oleh pertumbuhan hasil yang meningkat 33.1 peratus kepada RM5.50 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Peningkatan PBT itu didorong terutamanya oleh prestasi segmen Mobiliti, di samping sumbangan yang semakin baik daripada segmen pos dan perkhidmatan, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh keputusan sederhana dalam segmen perbankan dan hartanah.
“Bagi tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun 2026, PBT Kumpulan melonjak 57.8 peratus kepada RM340.52 juta berbanding RM215.81 juta bagi tempoh sama tahun lalu, manakala hasil melonjak 24.4 peratus kepada RM10.26 bilion.
“Peningkatan PBT separuh pertama itu terus dipacu oleh prestasi kukuh segmen Mobiliti serta penguncupan kerugian dalam segmen Pos,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, DRB-HICOM berkata, hasil segmen Mobiliti melonjak 32.5 peratus kepada RM7.99 bilion, didorong oleh jumlah jualan PROTON yang lebih tinggi, sumbangan perniagaan aeroangkasa susulan pengambilalihan CTRM AeroSystems Sdn. Bhd. serta pengedaran automotif.
“Bagi segmen perbankan, hasil meningkat 8.6 peratus kepada RM1.18 bilion menerusi pendapatan pembiayaan Bank Muamalat yang lebih tinggi, manakala hasil segmen Pos naik 8.3 peratus kepada RM964.55 juta disokong aktiviti pengendalian darat, hasil marin dan perkhidmatan kurier.
“Hasil segmen perkhidmatan turut mencatatkan kenaikan 2.8 peratus kepada RM106.35 juta didorong peningkatan pemeriksaan kenderaan di Puspakom, manakala segmen Hartanah menyusut kepada RM24.29 juta berikutan hasil yang lebih rendah daripada pembangunan dan pembinaan,” tambahnya.
Mengulas prospek hadapan, DRB-HICOM berkata, jualan Proton mencatatkan prestasi separuh pertama terbaik dalam tempoh 15 tahun dengan jualan 100,346 unit, disokong oleh penguasaan 42.6 peratus bahagian pasaran kenderaan elektrik (EV) menerusi jenama Proton e.MAS.
“Pos Malaysia pula menunjukkan kemajuan dalam usaha pemulihan perniagaan apabila berjaya mengurangkan kerugian sebanyak 30.1 peratus bagi tempoh separuh pertama tahun ini,” katanya.
Kumpulan menjangkakan prospek prestasi yang sederhana bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, berpandukan kestabilan ekonomi domestik serta kecemerlangan operasi yang berterusan. –UTUSAN
The post DRB-HICOM catat untung pra-cukai RM148.12j appeared first on Utusan Malaysia.






