
PETALING JAYA – DRB-HICOM Berhad mencatat keuntungan pra-cukai sebanyak RM148.12 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (S2 2026), peningkatan sebanyak 20.2 peratus tahun ke tahun.
Peningkatan keuntungan didorong terutamanya oleh segmen Mobiliti, disokong keputusan yang lebih baik daripada segmen Pos dan Perkhidmatan, namun sebahagiannya diimbangi oleh prestasi lebih lemah dalam segmen Perbankan dan Hartanah.
Hasil pula meningkat 33.1 peratus kepada RM5.5 bilion.
Pertumbuhan hasil didorong oleh jumlah jualan Proton yang lebih tinggi, sumbangan daripada perniagaan aeroangkasa yang diperluas susulan pengambilalihan CTRM AeroSystems Sdn. Bhd., prestasi lebih kukuh daripada perniagaan pengedaran automotif, pendapatan pembiayaan lebih tinggi di Bank Muamalat, serta peningkatan berkaitan hasil industri penerbangan, kurier dan logistik dalam kumpulan Pos Malaysia.
Dalam separuh pertama 2026, Kumpulan mencatat keuntungan pra-cukai sebanyak RM340.52 juta, peningkatan 57.8 peratus daripada RM215.81 juta setahun lalu, manakala hasil naik 24.4 peratus kepada RM10.26 bilion.
Bagi prospek tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, DRB-HICOM berkata, Jumlah Industri Keseluruhan (TIV) Malaysia meningkat 3.1 peratus kepada 385,353 unit pada separuh pertama 2026 dan Persatuan Automotif Malaysia telah menaikkan unjuran jualan industri kepada 800,000 unit.
“Seiring dengan peningkatan TIV, Proton mencatat prestasi jualan separuh pertama terbaik dalam tempoh 15 tahun, dengan pencapaian jualan sebanyak 100,346 unit, iaitu peningkatan 39.1% tahun ke tahun.
“Untuk segmen Pos, Pos Malaysia terus mencapai kemajuan dalam usaha pemulihannya, dengan kerugian menyusut 30.1 peratus tahun ke tahun.
“Segmen-segmen lain dalam Kumpulan iaitu Perbankan, Perkhidmatan dan Hartanah akan terus memperkasakan agenda pendigitalan masing-masing dengan memanfaatkan inovasi dan teknologi bagi meningkatkan kecekapan operasi serta menjana nilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post DRB-HICOM rekod untung pra-cukai RM148 juta appeared first on Kosmo Digital.






