
PETALING JAYA: Ambest Group Berhad mencatatkan lonjakan untung bersih lebih lapan kali ganda kepada RM3.44 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026, berbanding RM380,000 yang direkodkan pada suku pertama tahun kewangan sama.
Prestasi kukuh itu didorong peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 244.7 peratus kepada RM4.18 juta daripada RM1.21 juta pada suku sebelumnya.
Dalam tempoh sama, pendapatan syarikat penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan itu meningkat 19.2 peratus kepada RM24.28 juta berbanding RM20.37 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026.
Ambest berkata, peningkatan pendapatan terutama didorong pesanan jualan lebih tinggi daripada pelanggan sedia ada serta peningkatan output pengeluaran sepanjang suku berkenaan.
Segmen pemesinan tepat kekal menjadi penyumbang utama pendapatan dengan RM19.17 juta atau kira-kira 79 peratus daripada hasil suku kedua tahun kewangan 2026, manakala fabrikasi logam lembaran menyumbang RM5.11 juta atau 21 peratus.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, kumpulan itu merekodkan pendapatan kumulatif RM44.65 juta.
Prestasi keuntungan turut mendapat manfaat daripada normalisasi perbelanjaan pentadbiran susulan perbelanjaan penyenaraian tidak berulang kira-kira RM3.56 juta yang diiktiraf pada suku pertama tahun kewangan 2026.
Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, Ambest mencatatkan PBT terlaras RM8.95 juta dan PAT terlaras RM7.38 juta selepas mengambil kira semula perbelanjaan penyenaraian tidak berulang itu.
Pengarah Urusan Ambest Group Berhad, Tan Beng Beng berkata, prestasi suku kedua memberikan gambaran lebih jelas mengenai keupayaan operasi berterusan kumpulan selepas mengambil kira kesan perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja.
“Peningkatan keuntungan yang dilaporkan disokong oleh pesanan pelanggan yang lebih tinggi dan output pengeluaran yang lebih baik.
“Kami kekal fokus kepada pelaksanaan, kebolehpercayaan penghantaran dan penyediaan kapasiti bagi menyokong pelanggan apabila permintaan berkembang,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kumpulan turut menanggung kos peralatan dan jig lebih tinggi pada suku berkenaan sebagai persediaan menerima mesin baharu yang dijangka dihantar pada suku akan datang.
Katanya, walaupun perbelanjaan itu memberi kesan sementara terhadap keuntungan kasar, pelaburan berkenaan dijangka memendekkan tempoh pentauliahan serta meningkatkan kesiapsiagaan pengeluaran apabila peralatan baharu diterima.
Dalam perkembangan berkaitan, Ambest telah menggunakan RM23.73 juta daripada hasil kasar IPO berjumlah RM27.50 juta setakat 30 Jun 2026.
Daripada jumlah itu, RM12 juta digunakan sepenuhnya bagi pembayaran balik pinjaman, manakala RM6.80 juta diperuntukkan untuk modal kerja.
Baki RM3.78 juta pula akan digunakan bagi pembelian mesin baharu bagi menyokong keperluan pengeluaran masa hadapan.
Kedudukan kewangan kumpulan turut bertambah kukuh selepas penyenaraian, dengan jumlah ekuiti meningkat kepada RM65.90 juta pada 30 Jun 2026 berbanding RM35.98 juta pada 31 Disember 2025.
Jumlah pinjaman bank pula berkurangan kepada RM22.43 juta daripada kira-kira RM35.86 juta pada akhir tahun kewangan 2025 susulan pembayaran balik hutang menggunakan hasil IPO.
Mengulas prospek, Ambest berkata permintaan daripada industri semikonduktor kekal menggalakkan, didorong penggunaan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran berprestasi tinggi, pusat data, elektronik automotif dan automasi perindustrian.
Kumpulan itu juga terus menerima pertanyaan pesanan daripada pelanggan sedia ada dan baharu bagi komponen pemesinan tepat.
Lembaga Pengarah kekal optimistik terhadap prospek kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, dengan fokus diberikan kepada kecekapan operasi, penggunaan kapasiti, pengoptimuman kos dan pentauliahan mesin baharu mengikut jadual.
Langkah itu dijangka membolehkan Ambest meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memenuhi permintaan pelanggan dalam fasa pertumbuhan seterusnya.-UTUSAN
The post Ambest catat untung bersih RM3.44 juta appeared first on Utusan Malaysia.






